Tunggu Beras Kedah keluar dulu – Sanusi

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Urusan berkaitan beras bukannya bawah kuasa Lembaga Kemajuan Pertanian Mada (MADA) sebaliknya agensi itu hanya bertanggungjawab mengenai penanaman padi.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, apabila terdapat individu berjawatan penting di agensi itu menempelak pihaknya kononnya tidak membuat sebarang permohonan untuk mengeluarkan Beras Kedah.

“Apabila saya bercakap perkara ini (Beras Kedah) di dalam dewan (sidang Dewan Undangan Negeri) yang patut memberi respons adalah menteri bukannya pengerusi agensi. Orang itu bukan bertanggungjawab jaga beras, dia jaga MADA. MADA bukan jaga beras, tapi jaga padi.

“Lepas keluar kawasan MADA, padi naik lori masuk kilang, bukan lagi tanggungjawab MADA. Lagipun kita deal (perjanjian) dengan pengusaha beras bukan dengan pengeluar padi. Yang memasar serta mengilang beras orang lain,” kata beliau lagi pada sidang media selepas selesai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Selasa lalu, Sanusi ketika menjawab soalan lisan Dato’ Najmi Ahmad (PAS-Kupang) memaklumkan hasrat negeri untuk mengeluarkan beras sendiri iaitu ‘Beras Kedah’ dihalang oleh pihak tertentu.

Katanya, sikap sedemikian menggambarkan politik kuno yang masih diamalkan oleh pihak tertentu ketika ini sedangkan negara kini mengalami kecelaruan dalam industri beras tempatan.

Dalam pada itu, ujar beliau, sikap yang ditunjukkan oleh individu terbabit jelas membuktikan beliau tidak mempunyai pengetahuan berkenaan pengeluaran beras.

Kerajaan negeri, tegasnya tidak berhasrat untuk membuka kilang beras sebaliknya berurusan dengan pengusaha beras, untuk mengeluarkan produk beras bagi membolehkan rakyat negeri ini membelinya pada harga lebih murah.

“Saya tak mau layan dia, bukan kita nak jadi tauke beras, nak kena mohon lesen. Lagipun bukan saya maksudkan dia yang halang Kedah nak keluarkan beras sendiri. Yang dia perasan pasai apa?” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu lagi.

Pada 5 Mac lalu, individu berkenaan dalam kenyataan yang dilaporkan oleh media tempatan berkata, tuduhan Sanusi kononnya ada pihak menghalang mengeluarkan beras sendiri hanyalah untuk menutup kelemahan sendiri.

Katanya lagi, kerajaan negeri perlu memohon lesen kepada pihak kawal selia yang menguatkuasakan Akta 522 untuk tujuan membuat kilang dan memproses padi untuk dijadikan beras.

“Saya akan berurusan bersama Exco Pertanian Negeri Kedah dan setakat ini saya tidak berhasrat memaklumkan siapakah jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan untuk hal ini. Tunggu Beras Kedah dikeluarkan dulu,” kata Sanusi lagi. – HARAKAHDAILY 7/3/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -