
KUALA LUMPUR: Kuasa untuk mengurang dan melanjutkan tempoh keahlian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universiti perlu dikembalikan kepada mahasiswa dalam sebarang mekanisma yang dirasakan sesuai.
Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, kuasa Lembaga Pengarah Universiti (LPU) seolah-olah akan memberikan had dan limitasi kepada hak berdemokrasi yang dimiliki oleh mahasiswa berdasarkan Jadual Pertama Seksyen 48.
“Apatah lagi ada setengah Lembaga (Pengarah) Universiti ini merupakan lantikan politik dan kadangkala kecenderungan (politik) mereka itu tidak boleh dinafikan,” ujar beliau.
Ketua Penerangan PAS Pusat itu mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada perbahasan Rang Undang-undang Universiti dan Kolej Universiti Pindaan 2023 di Dewan Rakyat, di sini sebentar tadi.
Beliau yakin MPP di mana-mana universiti dan kolej universiti dipilih melalui satu proses pilihan raya kampus yang melibatkan semua mahasiswa sama ada peratus yang keluar mengundi itu rendah atau tinggi.
“Dan memerlukan perhatian oleh pelbagai pihak untuk menggerakkan (dan) menggalakkan mahasiswa sedari awal lagi cakna dengan perkembangan politik kampus. Namun hakikatnya pemilihan MPP ini hak mahasiswa, dari mahasiswa kepada mahasiswa.
“Pindaan Seksyen 48 pula akan memberikan kuasa kepada Lembaga (Pengarah) Universiti sama ada mengurangkan atau melanjutkan tempoh keahlian MPP dan pemegang jawatannya,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 18/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!