
BACHOK: Bulan Ramadan setiap tahun memberi rezeki yang melimpah buat pengusaha air nira apabila mendapat tempahan yang berlipat kali ganda berbanding hari biasa.
Di Kelantan, air nira lebih dikenali air ‘tuak’, sama ada yang diperolehi dari pokok kelapa atau nipah.
Biarpun tidak memakan modal yang besar, iaitu botol plastik bersaiz kecil dan besar atau kos elektrik untuk tujuan pembekuan air untuk disimpan lebih lama, namun untuk mengambil air nira bukan suatu perkara yang mudah.

Seorang pengusaha air nira, Mohd Suhaimi Jusoh, 46, begitu beruntung kerana mengusahakan air berkenaan yang diperolehi dari ladang kelapa miliknya sendiri seluas dua ekar.
Beliau tidak perlu menyewa pokok kelapa orang lain atau ke sungai untuk mencari nira dari pokok nipah yang tentunya lebih terdedah dengan binatang berbisa seperti ular sebagaimana pengusaha lain yang tidak mempunyai ladang kelapa sendiri.
Ketika ditemui di rumahnya, Suhaimi berkata beliau menyediakan sebanyak 3,000 botol bersaiz 1,500 ml sebelum Ramadan lalu untuk dijual pada bulan ini.
Bagaimanpun katanya, pada enam Ramadan air berkenaan hanya tinggal 1,000 botol sahaja memandangkan 2,000 botol telah habis dijual berikutan permintaan begitu tinggi khususnya orang luar Kelantan.
“Seramai sembilan orang peniaga dari empat negeri yang mengambil air tuak dengan saya iaitu dari Kuala Lumpur, Melaka, Johor dan Pahang.
“Kalau stok yang disimpan ini iaitu baki 1,000 botol ini habis dijual, maknanya saya tidak boleh menerima tempahan pelanggan dari luar Kelantan lagi,” katanya yang tinggal di Kampung Panjang, dekat sini.
Beliau berkata, tahun lalu hanya ada lima buah peti sejuk beku (freezer), namun tahun ini menambah empat lagi menjadikan jumlah keseluruhannya sembilan buah dengan harapan untuk menyimpan lebih banyak lagi air nira.
Katanya, untuk tahun hadapan beliau terpaksa menyediakan bilik sejuk beku bagi meletakkan air itu dalam jumlah yang lebih banyak.
Menurutnya, jika ada rezeki pelanggan luar Kelantan beliau boleh menyimpan sekiranya terdapat lebihan hasil pungutan harian selepas dijual kepada penduduk tempatan.
Jelasnya, pada hari biasa penduduk kampung datang membeli air nira di rumahnya hanya seramai empat atau lima orang sahaja dalam sehari.
Namun katanya, apabila tiba Ramadan jumlah pembeli yang datang ke rumah lebih 10 orang.
Beliau menjual pada orang ramai setiap satu botol pada harga RM10 yang bersaiz 1,500 ml manakala botol kecil (500 ml) pada harga RM4.
Bagaimanapun, tambahnya terpulang kepada individu berkenaan untuk menjualnya kepada orang ramai.
“Kalau di luar Kelantan botol kecil 500 ml ni laku sehingga RM7 sebotol, manakala yang 1,500 ml pula mencecah sehingga RM15 sebotol,” katanya.
Untuk mendapatkan air nira sebanyak 120 hingga 140 botol sehari, beliau terpaksa menyadap sebanyak dua kali sehari bermula 7.30 pagi dan selepas solat Asar.
Tambahnya, jika tidak sempat dihabiskan pada petang itu, terpaksa menyambungnya selepas tarawih.
Katanya, sekali menyandap boleh memperolehi antara 60 hingga 70 botol, begitu juga pada sebelah petang menjadikan jumlah keseluruhan dalam sehari antara 120 hingga 140 botol.
Beliau bagaimanapun mengakui musim kemarau yang begitu panas menyebabkan air nira tidak begitu banyak sehingga pungutannya agak susut berbanding biasa.

“Saya berharap usaha untuk menyediakan bilik sejuk beku tahun ini akan membuahkan hasil,” katanya ketika mengakhiri perbualan. – HARAKAHDAILY 18/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!