
ALOR SETAR: Hasrat Kedah untuk mengeluarkan berasnya sendiri, Beras Kedah telah cuba dihalang serta disekat oleh pihak tertentu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor (PAS- Jeneri) berkata, sekatan itu menggambarkan politik kuno yang masih diamalkan oleh ketika ini.
“Selepas Kedah mengumumkan hasrat untuk mengeluarkan beras sendiri, ada pihak berusaha agar tiada yang menjual beras kepada Kedah untuk menggagalkan perancangan itu.
“Ini menggambarkan politik kuno yang masih diamalkan oleh pihak terbabit,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Najmi Ahmad (PAS-Kupang) berhubung perancangan negeri dalam menjamin bekalan makanan, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, penggal ke 15, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Sanusi berkata, walaupun industri beras dikawal sepenuhnya oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, namun Kedah bersedia memberikan kerjasama sewajarnya dalam merealisasikan Beras Kedah.
Namun beliau yakin Jabatan Pertanian dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sedia berurusan, walaupun dari segi politik beliau tidak meletakkan harapan.
Pihaknya difahamkan terdapat arahan secara lisan dari pihak agensi persekutuan agar kerjasama dengan kerajaan negeri dihad serta dikurangkan, namun sebagai Menteri Besar, beliau memberi jaminan bahawa Kedah bersikap terbuka dan mengalu-alukan sebarang kerjasama bagi mempastikan kebimbangan makanan yang meruncing dapat diatasi.
“Negara kini mengalami kecelaruan dalam industri beras tempatan, maka sebagai negeri pengeluar beras, Kedah berhasrat menghasilkan beras sendiri tetapi tak dibenarkan.
“Semua jabatan dan agensi di Kedah diharap dapat menjalin kerjasama erat untuk berhadapan cabaran krisis makanan pada masa akan datang.
“Jadi. jangan ada agensi cuba asingkan negeri ini daripada aktiviti atau perancangan kementerian.Perkara ini perlu buat teguran terbuka di dewan yang mulia ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, Sanusi berkata, pihaknya sedang merangka kaedah pengeluaran beras berkenaan bagi membolehkan rakyat negeri ini dapat membelinya pada harga lebih murah.
“Isu kartel padi perlu diberi perhatian dan ditamatkan menerusi penguatkuasaan undang-undang kerajaan persekutuan,” tegas beliau.
“Punca berlakunya krisis beras antaranya disumbangkan oleh ketamakan pengusaha sektor makanan dan pertanian.
“Antaranya isu kartel padi yang terbongkar apabila berlakunya serbuan terhadap pihak yang simpan padi di Kedah, harap isu kartel dapat diselesaikan untuk pastikan tiada lagi kebimbangan bekalan beras akan datang,” ujar beliau lagi.
Justeru Sanusi juga berharap agar tiada sekatan khususnya terhadap Kedah dalam agihan varieti padi berkualiti agar negeri ini tidak menjadi pusat lambakan baja tidak bermutu. – HARAKAHDAILY 5/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!