
KUALA LUMPUR: Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyatakan jumlah keluasan tanah pertanian yang terbiar di seluruh negara.
Dalam soalan asal bagi sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat itu, beliau turut meminta agar kementerian menyatakan perancangannya untuk memastikan tanah terbiar ini dapat dimanfaatkan, sekali gus dapat memperkasakan keterjaminan makanan dalam negara.
Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup dalam jawapannya berkata, berdasarkan rekod daripada Jabatan Pertanian seluas 103,563 hektar tanah terbiar milik persendirian telah dikenal pasti melibatkan sejumlah 46,382 lot di Semenanjung Malaysia yang termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 89,464.35 hektar merupakan tanah darat manakala 1498.26 hektar adalah tanah sawah. Bagi manfaatkan tanah terbiar dan seterusnya meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara, KPKM telah mencadangkan inisiatif bagi meningkatkan keluasan tanah pertanian.
“(Iaitu) melalui sinergi antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang dibentangkan di dalam mesyuarat menteri besar dan ketua menteri yang ke-139,” ujarnya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen di sini sebentar tadi.
Katanya, antara sinergi yang sudah dipersetujui dalam mesyuarat tersebut adalah penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian peringkat daerah bagi memudah cara urusan membangunkan tanah persendirian tidak diusahakan dan berpotensi. – HARAKAHDAILY 20/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!