PAS sedia hadapi PRK di Gua Musang, Jeli 

Mohd Amar dalam sidang media selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di Kota Bharu, pada hari ini, 4 Mac 2024.
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS bersedia sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di Parlimen Gua Musang dan Jeli, memandangkan Bersatu telah meminda perlembagaan parti itu melarang ingkar terhadap keputusan parti.

Ia adalah susulan pada tahun lepas, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik, kedua-duanya dari Bersatu menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, baru-baru ini Bersatu meluluskan pindaan Perkara 10 perlembagaan parti itu dengan menetapkan ahli yang menentang keputusan parti dianggap keluar daripada parti berkenaan.  

Katanya, pindaan tersebut bermakna mana-mana ahli yang keluar atau memberi sokongan kepada parti lain akan terlucut jawatan mereka.

“Bagaimanapun, perkara itu terlebih dahulu perlu mendapat pandangan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan ia dijangka mengambil masa yang agak lama.

“Mengikut makluman yang kita terima, pindaan berkenaan perlu mendapat kelulusan RoS, namun prosesnya lama dan tidak tahu (tarikhnya) bila. Jika berlaku PRK, kita sedia bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Bersatu akan menghantar surat kepada enam ahli parlimen parti itu yang menyokong Perdana Menteri untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan dalam meneruskan sokongan itu.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika enam Ahli Parlimen berkenaan kekal menyokong Perdana Menteri, selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, Akta Anti Lompat Parti akan berkuat kuasa dan kerusi berkenaan akan dikosongkan.

Bagaimanapun, pada hari ini, media melaporkan lima daripada enam ahli parlimen Bersatu  terbabit kecuali Ahli Parlimen Kuala Kangsar kekal menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Pada minggu lepas, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Gua Musang dilapor menyatakan kesediaan mengosongkan kerusi mereka. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -