
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu serius menyalurkan bantuan dan menyegerakan sistem skim takaful tanaman padi yang pernah diperkenalkan sebelum ini, demikian gesa Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak).
Menurutnya, kerajaan juga perlu membuka laluan kepada kemudahan penukaran status tanah kepada tanaman lain seperti sawit atau pisang, sekiranya masalah padi ini berterusan agar mereka boleh kembali menjana pendapatan.
Beliau mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.
“Permasalahan ekonomi yang kurang berstrategi telah menyebabkan rakyat kita sendiri telah dikhianati. Kita bukan sahaja ingin membangkitkan isu beras, isu bawang, isu gula, isu kenaikan harga barang, isu SST 8 peratus, isu pencen dan berbagai-bagai isu lagi.
“Bahkan isu peruntukan yang lebih awal sepatutnya diturunkan untuk rakyat pun masih belum selesai lagi. Bila dikaitkan dengan isu beras lebih menyedihkan bukan mereka yang memerlukan beras sahaja yang tertekan, bahkan petani yang mengusahakannya juga lebih tertekan.
“Ada juga yang bertanya ke mana perginya beras yang mereka usahakan sendiri. Kami mendapati ada petani di kalangan penduduk kami di Pasir Salak, yang defisit keuntungannya, bahkan ada yang menjadi terhutang di bank dan sebagainya. Tanah 26 ekar namun hasilnya 600 kilogram sahaja.
“Bayangkan sudahlah berhutang di bank, pinjaman pula yang baru terhalang. Akibatnya ketandusan hasil yang dibawa, yang boleh dibawa pulang untuk menyara keluarga di saat kos sara hidup yang semakin menjulang,” ujar beliau.
Menurutnya, ada juga yang memaklumkan antara punca hasil padi bermasalah adalah kerana benih sedia ada pun bermasalah, ditambah dengan projek saluran perparitan yang tertangguh sekian lama dan belum diselesaikan puluhan tahun.
“Akibatnya air tidak masuk ke kawasan bendang, tambahan lagi padi mereka ada yang terkena penyakit virus, ulat batang dan serangga yang datang menyerang sungguh sudah jatuh ditimpa tangga pula.” kata beliau. – HARAKAHDAILY 6/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!