
PADANG BESAR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin membuka tirai ucapan mengenai kisah penubuhan Sekolah Rendah Islam At-Taqwa (SRIAT) Beseri.
Sebuah cerita inspiratif yang menyaksikan pengorbanan dan keinginan untuk menyebarkan cahaya ilmu agama.
“Masa itu, duit sekupang pun tak dak, nak pi buka sekolah di mana, itulah yang timbul idea nak buka sekolah di Pondok Haji Mad Rejab.
“16 orang pengasas mesyuarat bawa keluar sorang RM10 permulaan untuk buka sekolah, semoga niat suci mereka ini sentiasa subur dalam hati kita sampai sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Idul Ilmi SRIAT di sini, hari ini.
SRIAT kini menjadi mercu tanda sistem pendidikan PAS Perlis yang pada mulanya diasaskan oleh Tuan Guru Haji Rejab, Tuan Guru Haji Bakar dan Tuan Guru Haji Tahir pada tahun 1948 dengan sistem pondok.
“Ibu bapa sekarang semakin sedar akan kepentingan ilmu agama seiring dengan ilmu dunia berbanding sebelum ini.
“Pendidikan yang disediakan oleh pihak berkuasa sebelum ini tidak menepati keperluan masyarakat disebabkan itu timbul kesedaran untuk menubuhkan sekolah ini.
“Matlamat pendidikan tidak cukup dengan hanya mempunyai pelajaran tinggi tetapi lupa matlamat utama kehidupan iaitu bagaiman memakmurkan dunia tanpa melupakan akhirat,” katanya lagi.
Sementera itu, Mudir SRIAT, Ustaz Azamhari Mohamood berkata, majlis saban tahun diadakan bagi mengharagai pencapaian pelajar yang berjaya mengharumkan nama sekolah sehingga ke peringkat kebangsaan.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Lembaga Tadbir Sekolah-Sekolah PAS, Ruselee Eizan; Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Wan Hassan Ismail, Yang Dipertua PAS Kawasan Padang Besar, Saad Seman dan Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan, Amnah Abdul Rahman.
Tambah menarik, majlis dijalankan dengan tiga bahasa di mana Bahasa Melayu disampaikan oleh guru yang diterjemah kepada Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris oleh pelajar. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!