Ketidakpercayaan kaum: Krisis yang mesti diatasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rukun Negara perlu diterjemahkan rohnya kepada semua lapisan masyarakat agar mampu mencapai perpaduan seluruh negara, sekali gus menangani krisis ketidakpercayaan antara kaum.

- Advertisement -

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) menegaskan, hanya dengan itu sahaja barulah tamadun Malaysia akan tercapai di samping pentingnya mengatasi permainan dan kepentingan politik sempit serta masalah rabun sejarah.

Beliau mahu kerajaan menghadirkan pakar-pakar sejarah tulen untuk mengolah semula fakta di dalam buku teks sejarah di sekolah bagi menggantikan kandungan sedia ada yang ditulis oleh penjajah negara ini.

Beliau dalam ucapan itu turut mengangkat sebungkus beras putih super import spesial satu kilogran yang dinyatakannya berharga RM4.80 di mana menjadi lambang keluhan pengusaha warung atau peniaga makanan.

Menurutnya, apabila dilakukan tinjauan, beliau mendapati para peniaga terpaksa menggunakan beras import kerana beras tempatan tiada dalam pasaran dan sekiranya adapun, jumlah hancurnya lebih banyak.

Katanya, kenaikan harga barangan dihadapi peniaga makanan juga menyebabkan mereka tidak mencapai keuntungan sewajarnya hingga sukar melunaskan bayaran bil-bil utiliti, selain perbelanjaan pendidikan anak-anak.

“Jadi kekusutan para belia, ibu tunggal, warga emas yang menghidap penyakit kronik pelbagai segmen masyarakat yang timbul disebabkan kos sara hidup,” ujarnya dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini sebentar tadi.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS ini juga membangkitkan isu pelbagai cukai yang diperkenalkan atau dinaikkan di mana walaupun tidak dikenakan cukai kepada makanan, tetapi perkhidmatan berkaitan dikenakan cukai.

Akibatnya ujar beliau, barangan keperluan rakyat termasuk makanan tetap berlaku kenaikan harga, malangnya Menteri menyarankan untuk tidak memakan makanan yang naik harga itu.

Beliau dalam ucapan tersebut juga mempertikaikan usaha kerajaan kononnya mahu menoktahkan kemiskinan, tetapi bantuan hanya diberikan secara terpilih. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -