
KANGAR: Sebanyak 669 lot tapak di enam bazar Ramadan disediakan bagi peniaga di negeri Perlis untuk tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd. Jalil berkata, pengagihan lot tapak tersebut melibatkan 200 hingga 250 lot di bazar Ramadan Persiaran Wawasan Kangar, Dataran Niaga Arau (224), Taman Kemajuan (75), Kuala Perlis (65), serta masing-masing 35 dan 20 lot di Jalan Besar, Padang Besar dan Kompleks Bazar Jejawi.
“Sambutan terhadap lot tapak bazar Ramadan mendapat permintaan tinggi, malah saya difahamkan orang ramai beratur panjang untuk mendapatkan lot tapak bazar Ramadan di Persiaran Wawasan,” katanya.
Sesi pengundian tapak dijadualkan pada 20, 21, dan 22 Februari di lokasi berbeza iaitu masing-masing di Dewan Warisan Kangar, Dewan Sivik Arau, dan bilik mesyuarat Majlis Perbandaran Kangar, Perlis (MPKs) Kuala Perlis, dan Padang Besar.
Borang bagi tapak bazar Ramadan Taman Kemajuan, Kompleks Bazar Jejawi, Dataran Niaga Arau, tapak pasar malam Kuala Perlis dan Jalan Besar Padang Besar mulai dijual pada 29 dan 30 Januari lalu.
Asrul menjelaskan bahawa kadar tapak dijual pada harga RM230 bagi lot biasa untuk jualan makanan dan minuman, serta RM260 bagi lot jualan air tebu, kelapa, dan buah-buahan.
“Ini menandakan kenaikan RM10 berbanding tahun sebelumnya.
“Setiap peniaga juga hanya dibenarkan memohon maksimum empat tapak bagi satu permohonan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/2/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!