42 penumpang bas selamat kemalangan tiga kenderaan

Foto daripada Facebook Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Krai.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 42 penumpang dan dua pemandu bas ekspres terselamat dalam kemalangan di Kilometer 72 Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Padang Sembilan, malam tadi.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Supritenden Kamarulzaman Harun berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres bersama dua kereta pada jam 11.15 malam.

Katanya, ketika kejadian bas dan kereta jenis Proton Wira Aeroback dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang bertembung kereta jenis Nissan Latio datang dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu.

“Akibat pertembungan tersebut kereta Nissan Latio hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar bas ekspres, manakala Proton Wira Aeroback pula terbabas di bahu jalan laluan bertentangan.

“Dalam kemalangan itu pemandu kereta Proton Wira mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu kereta Nisan Latio mengalami kecederaan parah,” katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Oleh itu, kata beliau pihak polis akan melakukan siasatan secara terperinci dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan terbabit boleh menghubungi Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai.

“Pihak polis juga menasihatkan orang awam sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 11.15 malam.

Katanya, seramai 12 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari BBP Kuala Krai dan Guchil bergegas ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi didapati mangsa yang memandu kereta Nissan Latio tersepit di bahagian pemandu dan berjaya dikeluarkan.

“Bagaimanapun, pemandu kereta Proton Wira Aeroback yang turut mengalami kecederaan sudah dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -