Tanah runtuh di Sulawesi timbus puluhan kenderaan

Pasukan penyelamat dan orang ramai membantu mencari mangsa lain yang disyaki tertimbus bersama puluhan motosikal dan kereta di Kecamatan Bastem, Luwu, Sulawesi Selatan, Indonesia pada petang hari ini, 26 Feb 2024. (FOTO: Kompas)
- Advertisement -

MAKASSAR: Empat orang maut akibat tertimbus tembok tebing tanah yang runtuh di Kecamatan Bastem, Luwu, Sulawesi Selatan. Sebelum ia runtuh dalam kejadian pada pagi hari ini, Isnin (26 Feb), berlaku runtuhan tanah yang kecil di lokasi kejadian sehingga menutup jalan raya di situ.

Pada ketika ini, lapor Kompas, pasukan penyelamat masih masih mencari mangsa lain yang disyaki tertimbus bersama puluhan motosikal dan kereta.

Dalam beberapa klip video yang tular, kelihatan penduduk setempat berkumpul di sekitar lokasi tanah runtuh, dengan beberapa pengguna jalan raya cuba melintasinya.

- Advertisement -

“Ketika kejadian tanah runtuh kecil itu, ramai penduduk cuba menyeberangi dan memintas tanah runtuh. Terdapat juga penduduk tempatan. 

“Tanpa disangka, tembok tebing itu kemudian runtuh dan menghempap ​​orang di sekelilingnya,” kata Ketua Badan Penanggulangan Bencana Wilayah (BPBD) Sulawesi Selatan, Amson Padolo.

Sehingga petang Isnin, empat orang disahkan telah meninggal dunia. Sementara itu, enam lagi mangsa dapat diselamatkan. Bagaimanapun, 15 motosikal dan dua kereta masih tertimbus.

“Kami masih mencari untuk mengetahui sama ada kenderaan yang tertimbus itu membawa penumpang atau sama ada mereka telah dipindahkan,” tambah Amson. 

Selain anggota BPBD, usaha mencari mangsa turut dibantu oleh TNI/Polri, SAR dan penduduk setempat.

Sehingga petang hari ini, Isnin, 26 Feb 2024, empat individu disahkan meninggal dunia, sementara enam lagi mangsa dapat diselamatkan dalam kejadian runtuhan tembok tebing tanah di Bastem. (FOTO: Kompas)

Tanah runtuh di Bastem itu dicetuskan oleh hujan lebat sejak beberapa hari lalu. Di kawasan ini, hampir setiap tahun tanah runtuh berlaku, yang menyebabkan kematian penduduk.

Pakar bencana Universiti Hasanuddin, Adi Maulana berkata, Sulawesi Selatan merupakan antara 10 wilayah yang mempunyai indeks bencana yang tinggi. Bencana yang sering berlaku ialah banjir dan tanah runtuh.

Sebelum Luwu, banjir melanda beberapa bahagian Makale, ibu kota Tana Toraja. Sejumlah penduduk terperangkap dan terpaksa dipindahkan pada petang semalam, Ahad (25 Feb).

Ketua Pejabat Basarnas Makassar, Maezianus Bekabel berkata, “Penduduk yang terperangkap dalam banjir telah dipindahkan ke lokasi selamat, namun pegawai masih berjaga-jaga dan melakukan penilaian di tempat kejadian.” – HARAKAHDAILY 26/2/2024

- Advertisement -