
SEHINGGA sekarang Kelantan memasuki penggal kelapan di bawah teraju ulama. Ia bermula pada 22 Oktober 1990. Pada era pertama di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI) Kelantan diterajui Allahyarham Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat selama 22 tahun. Kemudian diteruskan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob. Dan bermula November 2023, Kelantan dipimpinan pula Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Bagi melihat kesinambungan itu ikuti temubual LANJUSOH dan MUHAMMAD ARIF ISMAIL dengan dibantu jurugambar RIZAL TAHIR bersama Timbalan Menteri Besar Kelantan DATO’ DR MOHAMED FADZLI HASSAN baru-baru ini.
Harakahdaily: Bagaimana Dato’ melihat peralihan kepimpinan kerajaan negeri dari arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz kepada Ustaz Ahmad Yakob dan sekarang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud?
Dr Mohamed Fadzli: Sebenarnya tidak berlaku perubahan ketara sangat. Ia lebih kepada kesinambungan. Cuma era Tok Guru bermula dengan sesuatu yang sangat besar sebab zaman itu PAS mulai mentadbir kerajaan negeri selepas kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1978.
Daripada kerajaan Umno kepada kerajaan PAS di Kelantan. Ia satu perubahan yang besar. Lebih-lebih lagi Tok Guru merupakan seorang ulama terkenal.
Kejutan berlaku pada masa itu kerana musuh politik memberi gambaran kerajaan yang ditadbir PAS tidak mampu bertahan lama. Sehingga ada pemimpin Umno menyebut kerajaan PAS hanya mampu bertahan tiga bulan. Sedangkan kerajaan PAS bertahan sehingga sekarang.
Kedua, mereka sebut Tok Guru tidak pandai memerintah kerana dilabel sebagai orang pondok. Tetapi Tok Guru membuktikan boleh memerintah sehinggga lebih 20 tahun.
Ketika era Tok Guru mulai dirintis perubahan contohnya cuti dua hari seminggu dan cuti bersalin 60 hari. Kita bermula daripada bawah. Kita buat bermula perkara yang kecil antaranya memulakan sesuatu majlis termasuk mesyuarat dengan membaca al Fatihah dan berakhir dengan surah al Ashr. Perkara itu kita jadikan agenda tetap.
Begitu juga tulisan perkataan Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar dipamer di tepi-tepi di seluruh Kelantan. Tok Guru buat dalam konteks mengikut kemampuan kerajaan negeri.
Dan selepas Tok Guru berhenti dan diganti Ustaz Ahmad banyak perkara berkaitan elemen-elemen Islamik dalam pentadbiran kerajaan sudah penuh. Jadi kita nak isi perkara baharu itu agak sukar sebab ‘sudah penuh’.
Sudah sampai ke tahap kemampuan kita tidak boleh luar daripada bidang kuasa kerajaan negeri. Jadi kita ‘polish’ apa yang Tok Guru buat sebelum ini, di samping mana-mana ada kelompangan kita isi semula.
Begitu juga di era Ustaz Mohd Nassuruddin sekarang. Saya tidak nampak banyak benda yang kita boleh buat dengan mengambil kira bidang kuasa yang ada pada kerajaan negeri.
Bukan bermaksud tepu kerana banyak benda yang belum dibuat tetapi ia berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri. Bagaimanapun tumpuan kerajaan negeri di era Dato’ Panglima Perang terutama aspek pembangunan negeri.
Kita tidak boleh nak bergantung sangat kepada hasil-hasil yang konvensional dan kena berfikir kaedah baharu menambah hasil negeri.
Kita fikir bagaimana hendak membangunkan Kelantan dalam konteks apa yang ada pada hari ini. Kita tidak mahu ketinggalan berbanding negeri-negeri lain. Kita juga berusaha membina hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan dengan cara pemikiran politik baharu. Kita harap begitu.
Pada penggal ke-15 susun atur anggota Exco kerajaan Kelantan lebih nampak banyak kumpulan teknokrat dan profesional berbanding ulama. Apa pandangan Dato’?
Itu merupakan tuntutan semasa. Dan bermula PRU-15 lebih separuh PAS m calon-calon baharu. Kalau tidak silap ada tujuh peguam ditampil sebagai calon PAS.
Jadi apabila kita tubuh kerajaan baharu kita rasakan kena menggunakan sebaik mungkin kepakaran yang ada dalam kalangan wakil-wakil rakyat kita. Kita letak ramai profesional dan golongan muda sebagai calon wakil rakyat bagi membantu kerajaan negeri.
Kalau kita tengok saf Exco sekarang ada semua, mewakili ulama dan profesional. Alhamdulillah kita sentiasa memantau prestasi mereka. Insya-Allah kita akan menilai dari semasa ke semasa kerana rakyat meletak harapan tinggi kepada kerajaan yang ada sekarang.
Apabila kita sebut gabungan antara ulama dan profesional, rakyat mempunyai harapan yang tinggi. Jadi kita kena bekerja untuk memenuhi harapan rakyat.
Cuma sedikit berbeza era sekarang di mana Adun Bersatu turut dilantik dalam saf pentadbiran kerajaan negeri. Apakah ia bagi memperkuatkan lagi kerajaan negeri?
Kita melihat Bersatu cukup memahami aspirasi kerajaan negeri yang sekian lama ditadbir PAS. Sebab itu dalam konteks Kelantan sebenarnya mana-mana parti politik melihat Kelantan sebagai kubu PAS.
Dan Bersatu cukup memahami aspirasi PAS di Kelantan. Kerajaan negeri turut melantik pemimpin Bersatu dan Gerakan sebagai penghulu dan ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).
Adun Bersatu dilantik sebagai Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Apa yang dirancang Exco berkenaan bertepatan dengan kehendak kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama.
Maknanya gandingan yang baik. Sehingga sekarang tiada campur tangan daripada Bersatu Pusat dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Di Kelantan terdapat dua Adun pembangkang. Adakah mereka mendapat peruntukan yang sama seperti Adun penyokong kerajaan?
Sama sebagaimana kita bagi kepada wakil rakyat PAS dan Bersatu. Peruntukan pembangunan kita bagi sama kerana mereka juga dipilih oleh rakyat. Dan kita menghormati dan hargai peranan mereka. Begitu juga dengan harapan kita supaya Kerajaan Pusat turut mengiktiraf wakil Perikatan Nasional yang dipilih rakyat.
Kita juga merakam ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang datang ke Kelantan baru-baru ini dan turut melulus sebanyak RM173 juta kepada Kelantan yang disebut sebagai wang ihsan.
Cuma kita minta supaya wang ihsan digantikan wang royalti. Suatu masa nanti wang itu kalau disebut sebagai wang royalti ia adalah hak Kelantan. Sedangkan wang ihsan adalah ehsan daripada orang lain, nak bagi tidak mengapa tidak bagi pun tidak mengapa.
Perjuangan menuntut royalti begitu rancak pada era arwah Tok Guru, namun sekarang seperti tidak ghairah lagi?
Sekarang kita buat secara diplomasi sebab kita pernah buat tuntutan melalui mahkamah. Kerajaan negeri menarik balik saman kerana ada janji Kerajaan Persekutuan untuk membayar kepada Kelantan. Jadi kita berharap siapa pun yang memimpin kerajaan Pusat perlu berpegang kepada janji tersebut.
Tahun lepas Menteri Besar pernah membuat kenyataan untuk bertemu dengan Perdana Menteri, sejauh mana perkembangannya?
Hasrat Menteri Besar hendak berjumpa dengan Perdana Menteri di Putrajaya tetapi nampaknya belum ada kesempatan lagi dari pihak Perdana Menteri.
Namun begitu pertemuan di program tertentu sudah banyak kali diadakan termasuk ketika Perdana Menteri datang melawat lokasi banjir Disember lepas. Pada pertemuan singkat itu hasrat kerajaan negeri sudah disampaikan Menteri Besar kepada Perdana Menteri. – HARAKAHDAILY 22/1/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!