Pembaikian paip di dasar sungai sukar ketika air pasang

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengambil tindakan jangka pendek dan panjang bagi menangani masalah paip pecah di tangki Puteri Baru berhampiran Sungai Lampu, Besut.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, bagi penyelesaian jangka pendek, ia melibatkan pembaikian sementara menggunakan paip ‘high-density polyethylene’ (HDPE) 450 milimeter (mm) sepanjang 700 meter.

Katanya, paip tersebut akan dipasang di atas jambatan yang dianggar melibatkan kos kira-kira RM500,000.

“Kita telah melantik kontraktor dan menyediakan paip tersebut. Perunding panel Syarikat Air Terengganu (SATU) sedang merekabentuk pembaikian.

“Kerja pembaikian sukar kerana lokasi berhampiran dengan tebing sungai dan paras air sedang pasang, malah kerja pembaikian kekal di dasar sungai dijangka mengambil masa agak lama.

“Pembaikian paip dijangka mengambil masa 15 hari,” katanya kepada pemberita di sini.

Media sebelum ini melaporkan kejadian paip pecah dari tangki Puteri Baru bersaiz 600 mm berhampiran Sungai Lampu, Besut menjejaskan 5,028 akaun yang melibatkan dua tangki utama iaitu Tangki Kampung Raja dan Tangki Bukit Kluang.

Malah ada sekolah berasrama di Besut menangguh kemasukkan pelajar bagi sesi pengajian yang bermula hari ini ekoran ketiadaan bekalan air.

“Buat pada masa ini lori tangki air digerak bagi menghantar bekalan kepada kepada penduduk sehingga bekalan pulih sepenuhnya,” kata beliau.

Menurutnya juga SATU pernah melaporkan kerosakan paip tersebut kepada Jabatan Bekalan Air (JBA) untuk pemasangan baharu pada tahun 2024. – HARAKAHDAILY 2/1/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -