Padang Terap akan dibangun sebagai Bandaraya Getah

- Advertisement -

PADANG TERAP: Daerah Padang Terap akan dibangunkan sebagai Bandaraya Getah serta menjadi ekopelancongan sepertimana di dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Padang Terap mempunyai persamaan dengan Baling di mana kedua-dua daerah berkenaan mempunyai kawasan hutan simpan dan kaya dengan keindahan alam semulajadi.

Namun menurutnya, daerah Padang Terap mempunyai kelebihan lain kerana adanya Tasik Pedu, Kedah Rubber City (KRC) dan kawasan hutan simpan yang luas.

“Di Tasik Pedu apabila kita menaiki bot pada waktu malam, kita boleh menyaksikan biasan cahaya berwarna kuning dan hijau di permukaan air.

“Orang ramai sanggup mengeluarkan wang yang banyak untuk ke Norway melihat situasi macam tu, tapi di Tasik Pedu pun ada.

“Di Tasik Pedu akan diadakan ‘house boat’ serta kawasan perkhemahan. Itu antara gambaran daerah Padang Terap menjelang 2035,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi Draf Rancangan Tempatan Daerah Padang Terap, Kedah 2035, hari ini.

Ujar Sanusi lagi, orang ramai boleh hadir ke Pejabat Daerah Padang Terap untuk menyertai sesi maklum balas serta cadangan bermula hari ini hingga 20 Januari.

Dalam pada itu, tambahnya, Kedah Rubber City (KRC) akan dibangunkan sebagai Smart City di samping sebagai industri kepada daerah ini.

“Saya dah berbincang dengan pihak Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) untuk membuka KRC kepada pelaburan tidak berasaskan getah.

“Kalau ada pelaburan produk lain kita akan diterima . Tanah di KRC luas. Ada pelabur memilih di KRC kerana lebih murah berbanding Kulim, lagipun ia dekat dengan sempadan Thailand,” tegasnya.

Bertanya adakah KRC akan ditukar nama sekiranya terdapat banyak pelaburan tidak berasaskan getah, Sanusi berkata semuanya terpulang kepada NCIA.

“Buat masa ini masih kekal KRC tetapi terpulang kepada NCIA sekiranya mereka nak tukar. Yang penting KRC menjadi Smart City,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 7/1/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -