
KANGAR: Harga bawang merah dan bawang ros naik mendadak dari RM6 kepada RM9 dan RM12.40 sekilogram sejak dua minggu lalu.
Tinjauan Harakahdaily di kedai runcit sekitar Kangar mendapati kebanyakan peniaga terpaksa menaikkan harga kerana bekalan daripada pembekal turut naik.
Menurut seorang peniaga runcit, Anuar Idris, kenaikan harga barang selalunya terjadi menjelang musim perayaan.
“Harga barang bergantung kepada pembekal, kalau pembekal naik jadi kita pun terpaksa naik.

“Tambahan lagi semakin hampir musim perayaan nanti, memang akan naik. Selalunya begitu bila hampir musim perayaan saja harga barang akan naik,” katanya ketika ditemui di sini.
Manakala di sebuah kedai runcit lagi, harga bawang didapati naik sejak sebulan lalu sekitar RM7.80 untuk bawang merah dan RM6.80 untuk bawang besar.
Kata Abdul Hadi Halipah, sebelum ini harga bawang hanya sekitar RM5 sahaja.
“Sebulan dah naik harga bawang, bekalan gula pun kurang,” katanya ketika ditemui di kedainya, di Kangar. – HARAKAHDAILY 23/1/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!