
ARAU: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu yang masih mahu menyokong kerajaan Madani dianggap bukan sebagai anak jantan kerana tidak mampu berdepan dengan cabaran.
Ahli Parlimen Arau Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim berkata, mereka yang mudah hendak lari dari medan perjuangan wajar berhenti daripada menjadi wakil rakyat.
“Dia bukan anak jantan dan lebih baik berhenti daripada menjadi wakil rakyat. Menang pada pilihan raya lepas atas tiket PN dan boleh dianggap cuba melarikan diri dari jalan yang benar kepada jalan tidak benar.
“Bukan anak jantan namanya dan ia juga boleh dianggap sebagai bacul kerana mahu selamatkan keluarganya dan harta sanggup bertindak bacul. Wakil rakyat yang lari daripada perjuangan akan dihina sehingga tujuh keturunan.
“Kerana mereka menang pada pilihan raya hasil sokongan rakyat,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Yayasan Fawwaz kepada pelajar yang berjaya melanjut pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Pada program itu seramai 159 pelajar dari tiga kawasan parlimen di Perlis menerima sumbangan tersebut yang disampaikan Shahidan.
Terdahulu Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Husin Hafiz dilapor mendakwa 10 lagi ahli parlimen Bersatu dijangka memberi sokongan kepada perdana menteri menjelang sidang parlimen 26 Februari ini. – HARAKAHDAILY 26/1/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!