
KOTA BHARU: Selepas serbuan dibuat Jabatan Imigresen di sekitar stesen bas di sini Jumaat lalu, sekarang tiada lagi kumpulan warga asing yang lepak di kawasan tersebut.
Sedangkan sebelum ini setiap hujung minggu khususnya Jumaat dan Sabtu, warga asing keluar beramai ramai untuk membeli belah atau ‘lepak santai’ di sekitar bandar Kota Bharu khususnya di Jalan Doktor dan Jalan Dato’ Pati.
Orang ramai memberi jolokan lokasi terbabit sebagai ‘Mini Dhaka’, namun sekarang lenggang selepas diserbu pihak berkuasa Jumaat lalu.
Operasi bersepadu tersebut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
Seramai 238 warga asing ditahan dalam Ops Kutip berkenaan.
Sementara itu seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Kak Yah, 65 mengakui setiap hari Jumaat sebelum ini ramai warga asing ‘bersantai’ beramai ramai.
Menurutnya, mereka keluar untuk membeli termasuk di Pasar Pohon Pinang.
“Hari Jumaat puak mereka memang ramai. Tetapi setakat ini tidak pernah berlaku sebarang masalah. Tak pernah berlaku perkara tidak diingini,” katanya ketika ditemui.
Kak Yah mendakwa ada warga asing yang berkahwin dengan wanita tempatan.
Mariah Abdullah 56, dari Pintu Geng turut berharap Imigresen sentiasa membuat pemantauan supaya tidak berlaku lagi kebanjiran warga asing di bandar Kota Bharu.
“Kalau yang datang untuk bekerja secara sah tak jadi masalah, namun yang datang secara haram, tamat permit atau tidak perbaharui dan kahwin pula dengan penduduk tempatan itu jadi masaalah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/1/2024











