
KOTA BHARU: Kenyataan veteran DAP Tan Sri Kit Siang antara lain menyebut tiada sekatan dalam Perlembagaan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri memperlihatkan sikap sebenar parti itu.
Pensyarah institusi pengajian tinggi menyifatkan kenyataan tersebut tidak menghormati orang Melayu terutamanya Umno yang berada dalam Kerajaan Madani sekarang.
Dr Zulkeflee Yaacob berkata, kenyataan pemimpin DAP terbabit mengguris perasaan orang Melayu.
“Ia wajar mendapat reaksi pihak berkuasa untuk mengelakkan prasangka buruk sama ada dalam kepimpinan kerajaan dan rakyat.
“Malaysia wujud kurang lebih 60 tahun lalu yang bermula daripada salasilah Melayu. Beberapa kerajaan Melayu Islam sudah wujud berabad sebelum kemasukan imigran ke Tanah Melayu.
“Kerajaan Melayu di benua Sunda yang tersohor iaitu kerajaan Samudera Pasai, Johor-Riau, Melaka dan Aceh berasas kesultanan Melayu,” katanya di sini.
Kit Siang ketika berucap di hadapan kelompok pelajar Malaysia di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu dilapor mengeluarkan kenyataan tersebut.
Bekas Pengerusi DAP itu antara lain mengatakan Perlembagaan Malaysia pada 1957 dan selepas dipinda pada 1963 bersama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 serta sembilan cabaran menjanjikan ‘Impian Malaysia’.
Impian berkenaan, dakwa beliau Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat mana-mana bukan Melayu daripada menjadi perdana menteri dan tidak memerlukan dua abad etnik lain menjadi perdana menteri.
Dr Zulkeflee yang juga Penasihat Majlis Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kelantan berkata, penguasaan kerajaan Melayu dan kesultanan tersebut tamat setelah datang penjajah Barat.
Menurutnya penjajah mengambil alih penguasaan ekonomi dan kemakmuran ala pecah dan perintah sehingga pejuang kemerdekaan dibuang ke Sri Lanka dan Afrika sehingga mewujudkan diaspora Melayu. – HARAKAHDAILY 11/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!