
KANGAR: Mantan Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad menerima Anugerah Jasamu Dikenang sempena Malam Anugerah Kewartawanan Negeri Perlis (MAKPs) 2023, di sini, baru-baru ini.
Anugerah disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Wan Badariah Wan Saad dan Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim.
Surina memulakan perkhidmatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada Disember 1989 dan kemudiannya dilantik sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Beliau yang merupakan lulusan Sarjana Muda dalam bidang perakauanan di Universiti Utara Malaysia (UUM) juga merupakan pegawai paling lama berkhidmat di cawangan khas PDRM sebelum mengetuai Polis negeri ini pada 2019.
Beliau seterusnya mencipta sejarah tersendiri sebagai Ketua Polis wanita pertama yang mengetuai pasukan keselamatan itu.
Di sebalik ketegasan menjalankan tugas, beliau adalah figura yang sangat disenangi petugas media di negeri ini kerana keramahan dan kepantasannya dalam menyalurkan maklumat berkaitan sesuatu kejadian jenayah atau permasalahan dalam komuniti.
Malah, tidak hairanlah apabila pihak media cukup selesa dengan beliau dan sentiasa memberikan kerjasama yang erat.
Selepas 34 tahun berkhidmat di dalam pasukan polis, Surina telah bersara wajib pada 25 September lepas. – HARAKAHDAILY 7/12/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!