
SHAH ALAM: PAS Selangor serta seluruh umat Islam di negeri ini menjunjung kasih ke atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan rakyat Malaysia khususnya bukan Islam agar tidak mencampuri hal ehwal agama Islam.
Setiausahanya, Zaidy Abdul Talib berkata, baginda juga menitahkan agar orang bukan Islam mencontohi umat Islam yang tidak mengganggu urusan agama lain.
Katanya, titah demikian adalah susulan cadangan Ahli Parlimen DAP, Datuk Ngeh Koo Ham agar kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal Undang-Undang Islam.
Beliau menegaskan, kenyataan Ahli Parlimen DAP itu merupakan suatu kenyataan bukan sahaja tidak berasas, bahkan bersifat provokatif malah menyentuh isu sensitif berunsur agama, raja dan bangsa.
Katanya, kenyataan itu berbahaya kerana ia boleh menimbulkan kekacauan dan menjejaskan hubungan antara kaum di dalam masyarakat.
Beliau menegaskan adakah ketika DAP berkuasa dalam kerajaan sekarang, segala tindakan dan keputusan orang Islam memerlukan persetujuan orang bukan Islam untuk dilaksanakan.
“Saya juga mendesak agar pihak berkuasa membuat siasatan terhadap Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham, di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta lain-lain undang-undang yang berkaitan,” tegasnya kepada Harakahdaily.
Sehubungan itu, PAS Selangor sangat kesal dengan sikap pemimpin Islam-Melayu dalam PH-BN yang berterusan mengunci mulut ketika pemimpin DAP berterusan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang bersifat provokasi.
“Apakah mereka sudah hilang taringnya apabila berada di tampuk pemerintahan,” soalnya. – HARAKAHDAILY 30/12/2023











