
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 (KESBAN) dengan anggaran kos sebanyak RM656 juta.
Menurut NRECC, tujuan utama projek itu adalah untuk mengurangkan risiko banjir di Jajahan Tumpat.
Katanya, kemajuan terkini di tapak sebanyak 76 peratus sehingga 30 September 2023 dan dijangka siap pada Ogos 2024.
Tambahnya, bagi PLSB Sungai Golok Fasa 2, masih di peringkat pra pelaksanaan melibatkan kawasan Pasir Mas, Rantau Panjang dan Jeli dengan kos projek berjumlah RM879 juta dan kini dalam proses penilaian tender.
“Skop yang terlibat adalah pembinaan pam, pembinaan ban dan tembok penahan serta lain-lain kerja yang berkaitan. Projek ini dijangka bermula pada tahun 2024 dan siap tahun 2027,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Fadhli dalam soalannya meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyatakan perkembangan pembinaan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN) dan bilakah ia dijangka siap sepenuhnya.
Menurut NRECC lagi, bagi PLSB Sungai Golok Fasa 3, masih di peringkat pra pelaksanaan dengan kos projek berjumlah RM 472 juta.
Kataya, lawatan tender bagi projek itu telah dijalankan pada 13 September 2023 dan tender tutup pada 6 November 2023. – HARAKAHDAILY 6/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!