Berkesankah eCOSS tangani isu minyak masak?

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sejauh manakah keberkesanan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) yang sedang dilaksanakan kerajaan dalam menangani isu kekurangan dalam bekalan minyak masak bersubsidi?

Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) telah menimbulkan persoalan tersebut sambi berkata: “Kita tahu bahawa pemberian subsidi sebanyak 60,000 tan sebulan, 720,000 tan setahun dan ini baru 21 peratus daripada jumlah penggunaan domestik 3.3 juta tan setahun.

- Advertisement -

“Daripada data 2019 sebenarnya jumlah isi rumah hanyalah 5.81 juta. Tetapi daripada data 2022 telah bertambah kepada 6.38 juta orang. Sedangkan kita masih kekal dengan 60,000 tan sebulan.

Beliau yang juga Timbalan Pesurujaya PAS Melaka itu menambah, selain bilangan rakyat Malaysia sendiri, terdapat juga sebanyak 2.7 juta orang pekerja asing yang juga membeli item ini.

“Jadi, apakah kerajaan ada iktikad untuk melihat kembali jumlah subsidi ni cukup atau tidak? Dan ditambah lagi macam saya kata tadi peniaga-peniaga mikro pun perlu dibantu sebab mereka adalah golongan yang amat terjejas dengan kenaikan kos sara hidup hari ini.

“Persoalan saya sejauh manakah keberkesanan eCOSS ini nanti? Bilakah akan diselesaikan? Dan sejauh mana keberkesanannya dia dalam menangani isu ini?” soal Bakri dalam sesi Soal Jawab Lisan Menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam soalan yang sama, beliau turut meminta agar Menteri KPDN menjelaskan apakah langkah-langkah mengatasi isu ini sementara eCOSS dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana rakyat dilihat masih mengeluh untuk mendapatkan minyak masak bersubsidi ini.

Sebagai rekod, eCOSS adalah satu sistem yang  membolehkan KPDN memantau pengedaran minyak masak bersubisidi di pasaran secara masa nyata dan berterusan yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Melalui sistem eCOSS ini juga KPDN dapat meningkatkan pemantauan bekalan minyak masak paket bersubsidi, dengan merekodkan transaksi minyak masak di pelbagai peringkat termasuk kilang penapisan, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit ke dalam satu pangkalan pusat.

Bakri mengajukan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh terhadap soalan asal Johari Abdul Ghani (BN – Tiriwangsa).

Johari dalam soalan asal meminta Menteri KPDN menyatakan berapa jumlah minyak masak paket bersubsidi dikeluarkan oleh KPDN pada setiap bulan dan berapa daripada jumlah ini diagihkan kepada golongan isi rumah B40 dan peniaga mikro?

Dalam jawapan kepada soalan Bakri, Fuziah berkata jumlah 60,000 tan sebulan untuk minyak bersubsidi pada masa ini masih mencukupi.

“Sebab sistem eCOSS sekarang ni ia sampai kepada peruncit, ia hanya untuk melihat kepada rantaian bekalan. Dan sekiranya ada ketirisan sepanjang rantaian bekalan.

“Namun, apabila kita sasarkan subsidi tentu sekali kita perlu sampai kepada pengguna, insya-Allah,” katanya.  HARAKAHDAILY 27/11/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -