Kebakaran di Jambatan Niagara Falls angkara pengganas?

Sebuah kenderaan terbakar di Jambatan Rainbow menyeberangi sempadan AS dengan Kanada, di Niagara Falls, New York, Amerika Syarikat oada 22 Nov 2023. (FOTO: Tangkapan skrin video Saleman Alwishah melalui REUTERS)
- Advertisement -

WASHINGTON: Bimbang ia angkara tindakan pengganas, empat lintasan di sempadan Amerika Syarikat-Kanada telah ditutup selepas insiden kebakaran di jambatan yang menghubungkan New York dan Ontario di Niagara Falls.

Kebakaran pada Rabu (22 Nov), waktu tempatan itu kemudian disahkan susulan dirempuh sebuah kenderaan yang menyebabkan dua individu yang berada di dalam kenderaan itu maut.

Beberapa jam kemudian, pihak berkuasa persekutuan dan negeri berkata penyiasat tidak menemui bukti tindakan keganasan, walaupun keadaan sekitar nahas di Jambatan Rainbow itu kelihatan agak mengerikan, menjadikan ia persoalan  untuk ditentukan sama ada kejadian  tidak disengajakan atau disengajakan.

- Advertisement -

“Pada masa ini, tiada tanda-tanda serangan pengganas  atau ancaman kepada orang ramai, kata Gabenor New York, Kathy Hochul kepada pemberita pada petang Rabu (22 Nov), waktu tempatan. 

Dalam pada itu, pihak FBI berkata dalam satu kenyataan bahawa ia telah memuktamadkan siasatannya. 

“Pemeriksaan di tempat kejadian mendedahkan tiada bahan letupan, dan tiada sebarang kaitan dengan keganasan dikenal pasti,” ujar kenyatan FBI dalam catatan di platform X.

Video nahas itu dirakam  pada kamera keselamatan dan disiarkan kepada X oleh agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS menunjukkan kereta itu bergerak dari arah AS dalam kelajuan tinggi, kemudian melanggar objek dan terbang ke udara sebelum terhempas ke tanah dan meletup dalam bentuk kepulan api.

“Pemandu dan seorang penumpang kereta itu maut dalam kemalangan tersebut, dan seorang pegawai CBP mengalami kecederaan ringan sebelum dirawat di hospital dan dibenarkan pulang,” ujar pegawai agensi berkenaan.

Konsert kumpulan rock KISS

Pihak berkuasa berkata, ia belum mengenal pasti dua mangsa terbunuh itu, namun CNN melaporkan bahawa  pemandu itu adalah seorang lelaki berusia 56 tahun yang menaiki kereta Bentley bersama isterinya untuk menghadiri konsert kumpulan rock KISS.

Persembahan kumpulan rock legenda itu yang dijadualkan pada Rabu (22 Nov) di Toronto sebagai sebahagian daripada jelajah perpisahan telah dibatalkan selepas salah seorang ahlinya, Paul Stanley, mengalami selesema.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) dalam pada itu berkata di laman webnya  bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Buffalo Niagara telah ditutup, tetapi Hochul berkata tiada sebarang gangguan berlaku.

Nahas di Jambatan Rainbow berlaku ketika kebimbangan keselamatan yang meningkat di seluruh dunia berpunca daripada konflik di Timur Tengah dan pada kemuncak perjalanan percutian AS pada malam perayaan Kesyukuran.

Jambatan Rainbow dan ketiga-tiga lintasan sempadan lain di sepanjang Sungai Niagara antara barat New York dan wilayah Kanada Ontario – Jambatan Keamanan, Jambatan Lewiston-Queenston dan Jambatan Whirlpool itu ditutup selama beberapa jam sebagai langkah berjaga-jaga.

Lintasan antarabangsa lain bagaimanapun tetap dibuka dalam ‘status berjaga-jaga pada tahap tinggi,” kata Houchul.  HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -