Bangunan klinik kesihatan canggih tapi…

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta menambah kemudahan seperti bilik x-ray serta bilik makmal di Klinik Kesihatan bagi kawasan kepadatan penduduk tidak tinggi.

Abdul Latiff Abdul Rahman (Pn-Kuala Krai) berkata, di kawasannya banyak klinik kesihatan sudah dinaiktaraf termasuk pembinaan bangunan baharu untuk beri kemudahan kepada rakyat.

- Advertisement -

Namun beliau berkata, kemudahan yang disebutkannya itu bagaimanapun tidak disediakan menyebabkan penduduk terpaksa pergi ke hospital yang terletak jauh dari tempat tinggal dan masa menunggu dapat perkhidmatan lama.

“Klinik kesihatan ini canggih (tetapi) jika tidak diisi dengan kemudahan yang sepatutnya pelanggan dan pesakit dapat, sudah pasti mereka akan tertumpu ke hospital kerana kemudahan itu tiada.

“Jika kemudahan disediakan dengan sebaiknya, pesakit dan pelanggan akan memilih klinik kesihatan berbanding hospital kerana faktor dekat dengan (kediaman) mereka dan masa menunggu tidak lama,” katanya.

Sementara itu Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut bahkan mengakui banyak kemudahan itu tidak disediakan dalam klinik kesihatan.

Beliau juga percaya klinik kesihatan di kawasan yang tidak ramai penduduk seperti di pedalaman perlu dikaji semula berbanding klinik kesihatan di bandar dan penduduk yang ramai.

Beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan dasar baharu menggantikan Bilangan Purata Kedatangan Sehari bagi mengklasifikasikan klinik kesihatan dengan bilangan pengunjung setiap hari.

“Kawasan seperti Kuala Krai banyak mendapat tujuh, inshallah kita akan buat satu dasar baharu, yang mana klinik akan datang ini kita hanya buat 4, 3, 2, 1 bagi klasifikasi sahaja.

“Maksudnya, klinik yang hampir dengan komuniti diberikan kemudahan ini, jadi mereka tidak perlu (jadi) sepertimana (Ahli Parlimen) Kuala Krai sebutkan tadi, kes biasa sederhana boleh buat di klinik terus,” katanya.  HARAKAHDAILY 23/11/2023

- Advertisement -