Treler bawa sumbangan rakyat Malaysia akan bertolak ke Gaza

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tiga treler membawa barangan perubatan, makanan dan minuman keseluruhannya bernilai AS$1.5 juta (RM7.2 juta) yang sebahagiannya disumbangkan rakyat Malaysia untuk rakyat Palestin, akan bertolak ke sempadan Mesir-Palestin menuju Gaza, selewat-lewatnya 30 Oktober (Isnin) ini.

- Advertisement -

Kerja memasukkan barangan bantuan kecemasan itu ke dalam kotak dan memuat naik ke atas lori mula dilakukan pada Jumaat (27 Oktober) dengan turut dibantu sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) yang berada di bandar Kaherah, Mesir sejak 10 hari lalu.

Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail berkata, pihaknya membelanjakan lebih RM500,000 untuk pembelian barangan perubatan, makanan dan minuman itu daripada RM1.5 juta yang sudah dibelanjakan untuk bantuan kecemasan Palestin.

Menurutnya, majoriti sumbangan disalurkan terus kepada MCM Palestin di Gaza yang diketuai penduduk tempatan, Ahmad Abu Ayesh.

“Untuk bantuan dari Mesir pula MCM dan Muslim Care Egypt bergabung dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa Miles of Smiles yang berpejabat di London dan turut dianggotai NGO dari United Kingdom, Jordan, Turkiye dan Sweden,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, antara makanan yang akan dihantar ke Gaza ialah daging, ikan dan kacang dalam tin, tepung gandum keju, serbuk teh, manisan serta air minuman di dalam botol.

“Barangan itu dimasukkan ke dalam  kotak kecil yang setiap satu seberat lapan kilogram,” katanya yang mengetuai pasukan MCM membabitkan tiga orang. Bersama beliau ialah Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar dan Exco Media, Tuan Asri Tuan Hussein.

Menurutnya, barangan perubatan pula termasuk pembalut luka, kerusi roda, katil, pengusung beroda, tongkat, alat pengimbas serta mesin ECG untuk rawatan jantung.

Beliau berkata, tiga treler setiap satu sepanjang 12 meter yang membawa semua barangan perubatan dan makanan itu akan bertolak selewat-lewatnya Isnin (30 Oktober) dari Kaherah ke bandar Al-Arish yang terletak 45 kilometer dari lintasan Rafah yang memisahkan Mesir dan Gaza.

“Al-Arish kini menjadi pusat pengumpulan barangan bantuan untuk ke Gaza dan sebuah stadium digunakan untuk tujuan itu. Malah, kerajaan Mesir bercadang membuka hospital medan di bandar itu sebelum melonggarkan kawalan pintu sempadan untuk merawat ribuan rakyat Palestin yang cedera,” katanya.

Sementara itu, kemasukan lori membawa bantuan kecemasan ke Gaza masih terhad.

Setakat ini hanya 74 lori membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan dibenarkan melepasi lintasan Rafah manakala beratus-ratus lori lagi beratur di pintu sempadan menunggu giliran.

Johari berkata, pihak Miles of Smiles turut mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Mesir untuk merancang kerjasama.

“Namun, kami diberitahu petugas mereka juga tidak dibenarkan masuk ke Gaza, hanya barangan bantuan dibenarkan. PBSM Mesir juga kini memusatkan operasi dan bantuan kecemasan mereka di Al-Arish,” ujarnya.

Menurut Johari, pasukan MCM sedikit kecewa kerana tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Mesir untuk menyertai konvoi tiga treler itu ke Al-Arish.

“Namun, tugas dan amanah rakyat Malaysia akan tetap kami laksanakan. Insya-Allah selepas kami bertiga pulang pada Sabtu, akan ada pasukan MCM yang menyambung tugas kami untuk fasa berikutnya.

“Pastinya, fokus kami selepas ini ialah untuk ke Al-Arish dan seterusnya masuk ke Gaza jika mendapat lampu hijau,” katanya.

Menurutnya, turut berkolaborasi dengan MCM untuk bantuan kecemasan kepada rakyat Palestin dalam perang kali ini ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Perdana Global Peace Foundation (PGPF), Pertubuhan Khidmat Umah (PKU) dan One Nation.

Selain itu, MCM turut menyertai Ops Ihsan dikoordinasikan Wisma Putra dengan gabungan 45 NGO Malaysia membabitkan penghantaran bantuan kecemasan sebanyak 50 tan bernilai RM7 juta dengan menggunakan pesawat udara yang dijadual terbang ke Al-Arish pada 3 November depan. – HARAKAHDAILY 28/10/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -