Doa kita untuk Palestin

- Advertisement -

SUNGGUH hebat orang Palestin. Ketika ramai Islam menggunakan segenap kemampuan mereka di media sosial untuk berdebat mengenai; Siapakah yang lebih Ahlus Sunnah Wal Jamaah di kalangan Ahlus Sunnah; Siapakah pula yang bukan Ahlus Sunnah di kalangan para ulamak silam; Membid’ah dan memfasiqkan para ulamak Muslimin dengan ‘dalil-dalil’ yang memenuhi ruang internet; Membahaskan masalah khilafiyyah sehingga kita hampir putus asa untuk melihat kesatuan umat Islam.

Ketika itu, saudara-saudara kita di bumi Palestin pula menggunakan segenap kemampuan yang mereka ada untuk menentang negara Zionis dan mempertahankan al-Masjid al-Aqsa. Tidak ada negara umat Islam yang mampu membantu mereka secara langsung dan terang-terangan, seperti mana negara Zionis dibantu secara langsung dan terangan.

Mereka menunaikan kefardhuan jihad mempertahan bumi al-Aqsa yang sepatutnya terpikul di atas bahu seluruh umat Islam dengan secebis kudrat yang masih berbaki pada diri mereka.

Kita doakan saudara kita di bumi Palestin diberi kekuatan dan kesabaran. Tindak balas rejim Zionis akan lebih dahsyat selepas ini.

Jika tidak melawan langsung, Zionis akan menekan, menangkap, merampas dan membunuh rakyat Palestin dengan sehina-hinanya.

Hari ini Palestin membalas sedikit kekejaman Israel dengan menunjukkan kekuatan mereka ada kemampuan untuk menyerang negara haram itu, bukan setakat mampu mempertahankan penempatan Palestin di Gaza sahaja.

Walaupun perlawanan antara rejim Zionis dan mujahidin Palestin sangat-sangat berat sebelah, tapi serangan dan kekejaman negara itu tetap perlu dibalas. Jika Rejim Zionis boleh menyakiti Palestin. Palestin pun ada kemampuan untuk menyakiti mereka. Walaupun perlawanan. 

Menunjukkan sedikit kekuatan yang ada seperti ini untuk membolehkan mereka berunding dengan rejim Zionis dengan lebih berkesan. 

Rundingan mengenai hak asasi tahanan Palestin di penjara-penjara Israel, rundingan mengenai pembebasan tahanan-tahanan yang ditahan puluhan tahun tanpa berita, rundingan mengenai Kompleks Masjid al-Aqsa yang sentiasa diceroboh dan diprovokasi oleh tentera Zionis dan penziarah ekstrem Yahudi. Rundingan untuk memberikan sedikit nafas kepada penduduk Palestin sebagai ‘manusia’ dan ‘penduduk sebenar’ tanah yang dijajah.

Umat Islam sepatutnya membanyakkan amal menunaikan kefardhuan ‘semasa’, bukan sekadar berdebat sepanjang masa.

اللهم انصر اخواننا المجاهدين في فلسطين وأفرغ عليهم صبرا وثبت أقدامهم وانصرهم على القوم الكافرين.

USTAZ ZAKARIA ISMAIL 
Marang
8 Oktober 2023 – HARAKAHDAILY 8/10/2023

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -