
KUALA LUMPUR: Calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya tidak dapat menahan air mata apabila melihat anak sulung mangsa kemalangan maut mengimami solat jenazah ahli keluarganya.
“Ya Allah kuatkanlah anak ini. Air mata saya tak dapat ditahan dari terus mengalir bila melihat anak sulung Allahyarham Imam Haji Amir Ruddin menangis hiba, mengenangkan ahli keluarganya yang telah menghadap Ilahi,” tulisnya dalam Facebook beliau, malam tadi.
Semua enam jenazah anak beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Segamat-Kuantan dekat Taman Yayasan, Segamat, petang Jumaat lalu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah, Parit Jawa, jam 4.50 petang semalam.
Menurut Mazri, beliau memeluk erat anak sulung Allahyarham Amir Ruddin, Abdurrahman, 19, yang mengimamkan solat jenazah ahli keluarganya seramai enam orang itu.
“Sebak hati kita melihat, perit lagi jiwa ahli keluarga yang menanggung kehilangan. Semoga terus kuat, reda menghadapi ujian ini.
“Semoga Allah mengampunkan segala dosa, diterima segala amalan baik, ditempatkan bersama orang solihin,” katanya lagi.
Media melaporkan, pasangan suami isteri Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43; serta empat anak mereka Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5, dikebumikan dalam satu liang lahad.
Jenazah enam sekeluarga itu dibawa dari Hospital Segamat dan tiba di Masjid Ubudiah kira-kira 3 petang sebelum disembahyangkan serta diberi penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan kenalan.
Lima mangsa tersebut meninggal dunia di lokasi manakala Assyakrawi, meninggal ketika menerima rawatan.
Seorang lagi anak yang juga mangsa kemalangan, Abdullah, 15, masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Segamat. – HARAKAHDAILY 3/9/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!