
MUAR: PERIKATAN NASIONAL Negeri Johor tidak akan membiarkan Dr Mazri Yahya keseorangan sekiranya mendapat mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, 9 September.
Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL negeri, Ustaz Abdullah Husin berkata, pihaknya akan membantu untuk memastikan wakil gabungan itu memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat.
Menurutnya, calon yang ditampilkan iaitu Dr Mazri Yahya adalah mewakili PERIKATAN NASIONAL seluruhnya.
“Kita PN Johor mengambil tanggungjawab agar calon kita menang dan beliau memikul amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Kkita tidak akan membiarkan beliau keseorangan bahkan PN negeri akan bersama-sama membantu dan memantau segala pergerakan untuk memastikan wakil kita memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya pada siding media di Markas PAS Kawasan Bakri, di sini hari ini.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri menambah, itulah harapan yang sangat tinggi terhadap calon bagi DUN Simpang Jeram.
“Jadi itulah harapan kita yang sangat tinggi lebih-lebih lagi pada kesempatan kita di siding media ini, memang kita mengharapkan kemenangan calon kita ini untuk memberikan satu signal kepada kerajaan yang ada pada hari ini,” ujarnya.
Tambahnya, dengan mengharapkan Dr Mazri mendapat kemenangan pada PRK DUN Simpang Jeram kali ini, menjadikan PERIKATAN NASIONAL mempunyai empat dalam DUN Johor.
“Jadi kita harap YB Cikgu Aziz, Adun Maharani kita akan dapat kawan, sekarang kita ada tiga, PN kalau tambah Dr Mazri kita dapat empat, insya-Allah,” ujarnya lagi.
Pada PRN Johor yang berlangsung 12 Mac 2022, PERIKATAN NASIONAL memenangi tiga Dun menerusi Dato’ Dr. Sahruddin Jamal (Bukit Kepong), Abdul Aziz Talib (Maharani) dan Alwiyah Talib (Endau). – HARAKAHDAILY 6/9/2023











