
KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman menjelaskan bahawa setiap mesej yang terkandung dalam ucapan dan penulisan di Minda Presiden PAS bertujuan membangkitkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan umat Islam.
Beliau mengakui, mesej-mesej Tuan Guru Abdul Hadi di Minda Presiden PAS, memang ‘pahit umpama hempedu’.
Bagaimanapun, tanpa menghuraikan lanjut, katanya, ia cuma dirasai ‘golongan tertentu, khususnya yang tenggelam dipandu nafsu’.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim yang mengkritik penulisan Minda Presiden PAS bertajuk ‘PAN dan Umno menjadi Gurkha DAP’.
Menurut Kamil, Tuan Guru Abdul Hadi membawa ‘mesej jelas; benci, benci dan terus membenci’.
“Ada kalanya ‘pahit umpama hempedu’ kepada golongan tertentu, khususnya mereka yang tenggelam dipandu nafsu,” ujar Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok.
Namun ada kalanya, ujar beliau ‘manis umpama madu’ kepada mereka yang terbuka hatinya untuk terus dipandu wahyu.
Beliau memetik firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang terdekat”. (Asy-Syu’araa’: 214)
“Justeru tugas kami hanyalah untuk menyampaikan risalah ini. Risalah yang terkandung di dalamnya berita gembira, peringatan, mahupun amaran kepada hati-hati yang terbuka, walaupun mungkin ada hati-hati yang terluka,” katanya dalam suatu kenyataan, hari ini. – HARAKAHDAILY 25/8/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!