Rakyat belum terlepas pengaruh doktrinasi jahiliah

Mohd Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Malaysia tidak lagi terikat dengan penjajahan fizikal, namun rakyat belum tentu terlepas daripada pengaruh doktrinasi peninggalan jahiliah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta Negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, kemerdekaan dimaksudkan kebebasan daripada segala bentuk penjajahan diri, minda dan jiwa daripada tatakelola bercanggah syariat Islam.

- Advertisement -

Katanya dalam konteks berkerajaan, kemerdekaan juga berkait dengan pengukuhan dasar, penggubalan undang-undang dan penguatkuasaan urus tadbir dalam mengawal tingkah laku umat Islam selaras tuntutan agama.

“Secara mudah ia difahami melalui penjagaan Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, nyawa, keturunan, akal dan harta.

“Inilah erti merdeka yang perlu dititik beratkan oleh generasi Muslim dalam mewajah kemerdekaan mengikut perspektif Membangun Bersama Islam. Hidup Bersyariat Anda Selamat, Membelakangi Syariat Anda Sesat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penegasan seumpama itu perlu menjadi panduan umat Islam bagi mempertahankan syariah Islam serta tanah air daripada dijajah.

Menurutnya juga, kerajaan Kelantan sejak sekian lama meletakkan dasar Membangun Bersama Islam demi menobatkan ketuanannya dalam semua perkara.

“Suatu kisah yang hebat perlu dihayati sebelum tercetus peperangan al-Qadisiah antara tentera Islam pimpinan Sa’ad bin Abi Waqqas RA dengan tentera Parsi pimpinan Rustum.

“Sa’ad terlebih dahulu mengirim utusan kepada Rustum beberapa kali dan salah seorangnya adalah seorang pemberani dan pejuang kemerdekaan iaitu Rib’ie bin ‘Amir R.A.

“Dialog Rib’ie bin ‘Amir dan Rustum membuka minda serta mendidik ummah berkaitan erti kebebasan sebenar dan ia dinukilkan dalam lipatan sejarah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 31/8/2023

- Advertisement -