
ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menyambut baik langkah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) penerokaan unsur nadir bumi (REE).
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu bertepatan memandangkan penerokaan REE merupakan hasil pendapatan baharu di Kedah.
“Alhamdulillah dan saya ucap terima kasih kepada Kementerian Sumber Asli dan Perubahan Iklim serta menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad kerana tindak balas yang pantas,” katanya selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, petang semalam.
Media sebelum ini melaporkan jawatankuasa berkaitan mineral yang dipengerusikan menteri di bawah Majlis Mineral Negara akan berbincang mengenai garis panduan dan SOP berkaitan REE.
Sanusi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains serta Hasil Bumi negeri berkata, jawatankuasa terbabit turut dianggotai anggota Exco di bawah portfolio mineral dan galian.
Kata beliau, SOP itu juga akan memberi manfaat kepada negeri-negeri lain yang mempunyai sumber REE.
“Kedah sepatutnya menjadi negeri kedua projek rintis selepas projek perintis untuk membangunkan SOP di Perak dijalankan sebelum ini.
“Deposit (REE) paling besar ada di Terengganu, sebelum ini projek perintis untuk membangunkan SOP dilaksanakan di Perak,” tambahnya.
Menurutnya juga, SOP diharap mampu mengelak kegiatan mencuri bahan mineral terbabit daripada terus berlaku. – HARAKAHDAILY 31/8/2023











