Amal gaya hidup menyalahi agama bukan negara merdeka

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bukan sebuah negara yang merdeka apabila rakyat masih meniru dan mengamalkan gaya hidup menyalahi agama serta budaya sehingga membawa pemikiran songsang.

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, semua itu akan menjadi wabak dan barah dalam masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda.

- Advertisement -

Katanya, golongan muda mudah terpengaruh dengan anasir tersebut sehingga hilang jati diri sebagai anak bangsa.

“Usia 66 tahun kemerdekaan negara perlu dihayati sebaik mungkin selaras dengan ajaran agama dan budaya tempatan.

“Bukan negara yang merdeka sekiranya masih ada rakyat yang berbangga meniru gaya hidup luar,” katanya pada Sambutan Kemerdekaan ke-66 peringkat negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan.

Lebih 22,000 rakyat Kelantan membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV bagi menyaksikan pertunjukan bunga api sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Kelantan bermula dengan persembahan qasidah pada jam 6.30 petang.

Selepas solat Isyak diadakan persembahan dikir barat, perarakan kontinjen flashmob silat, tarian kemerdekaan, demonstrasi t-baton (PDRM), simfoni pergendangan.

Selain itu tempur tanpa senjata (anggota tentera), demonstrasi K-9 (PDRM), dikir barat finale dan berakhir dengan pertunjukan bunga api.

Suasana Sambutan Kemerdekaan ke-66 peringkat negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Sejak tahun 2019, pertunjukan bunga api bagi acara rasmi kerajaan dihentikan akibat penularan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Nassuruddin juga berkata, usia kemerdekaan yang panjang banyak mengajar rakyat Malaysia kekal sebagai sebuah negara berdaulat, makmur, kukuh jati diri serta dihormati.

Menurutnya, Malaysia sebuah negara yang dilimpahi rahmat kerana masyarakat berbilang kaum dapat hidup dengam aman dan damai.

Kata beliau juga di bawah dasar Membangun Bersama Islam memacu pentadbiran kerajaan negeri untuk memastikan kehidupan rakyat bersatu dan saling membantu antara satu sama lain.

Beliau berkata, semangat hormati menghormati dan hubungan sesama kaum yang sedia terjalin di Kelantan perlu dikekalkan bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

“Kerajaan negeri sentiasa prihatin serta meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat sebagai asas paling kukuh dalam pentadbiran kerajaan.

“Justeru saya menyeru rakyat Kelantan supaya berusaha mengekalkan nikmat kemerdekaan ini, jalin hubungan sesama kaum dan hormat menghormati agar kesejahteraan terus kekal,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/8/2023

- Advertisement -