Tutup surau kerana tiada air, perlu selesai segera

Norazian Md Ali
- Advertisement -

KUANTAN: Sejak kira-kira dua tahun lalu, penduduk di Felda Sungai Panching Utara, 28 kilometer dari sini terpaksa menelan kesukaran dihadapi mereka.

- Advertisement -

Ini berikutan masalah gangguan bekalan air di kawasan itu belum menunjukkan bakal berakhir.

Penduduk mendakwa isu berkenaan sudah lama berlaku dan aduan juga sudah dibuat kepada pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).

“Surau kami pun kadang kala terpaksa ditutup, kalau tak ada (bekalan) air, tak bolehlah nak buat solat berjemaah di sini,” kata bilal Surau As-Sajiddin, Felda Sungai Panching Utara, Norazian Md Ali, 52, ketika ditemui, hari ini.

Norazian berkata, sebelum ini surau berkenaan menerima ramai jemaah setiap kali masuk waktu solat fardu, namun sejak masalah gangguan air berlaku, tidak lagi boleh mengadakan solat berjemaah seperti sebelumnya.

“Macam sekarang, dah dua tiga hari kami tak boleh berjemaah di sini, jadi semua perlu ke Masjid Al Huda jika nak solat berjemaah.

“Jaraknya tidak jauh mana, kira-kira 900 meter dari surau ini.

“Cuma kalau bekalan air pulih, mudahlah kami nak berkumpul, lagipun kebanyakan peneroka di sini generasi pertama, yang muda semua dah keluar (kerja) di bandar raya Kuantan atau luar Pahang,” katanya lagi.

Dia turut memberitahu, penduduk sekitar surau itu sudah faham jika tidak ada bunyi azan dari surau, maknanya bekalan air bermasalah.

Bagi Kamariah Mohamad, 67, pula berharap perkara itu boleh diatasi segera kerana ia sudah berlanjutan sejak sekian lama.

“Saya pun kurang sihat, ada masalah (sakit) saraf dan pergerakan terbatas. Sekarang ini harapkan suami dan anak-anak untuk sediakan bekalan air.

“Bekalan kadang-kadang terputus terus, kadang-kadang ada sekejap sebelah petang atau tengah malam. Memang sukar nak buat urusan harian, nak membasuh baju kena tunggu jam 1 hingga 2 pagi,” katanya.

Dia turut berkata, masalah itu juga mengakibatkan sukar untuk berkumpul dengan anak cucu terutamanya ketika musim cuti sekolah atau hari raya.

“Masa hari raya kami terpaksa tutup pintu (rumah), sebab tak ada air nak basuh pinggan gelas jika tetamu datang beraya,” katanya lagi.

Seorang lagi penduduk Felda Sungai Panching Utara, Hayati Baharum, 52, mengakui masalah itu turut menjejaskan perniagaannya. (Foto bawah)

Dia yang sebelum ini mengusahakan nurseri mendakwa terpaksa menghentikan operasi perniagaan itu berikutan masalah gangguan bekalan air.

“Kita nak jual pokok bunga, anak pokok buah, kenalah pastikan semuanya segar baru ada orang nak beli.

“Kalau air pun tak ada, macam mana nak siram pokok semua, jadi saya fikir baik saya berhenti dulu (berniaga) dan harap pihak berwajib boleh selesaikan segera masalah ini,” katanya.

Aduan dan laporan penduduk itu sudah sampai kepada pengetahuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya yang turut sama meninjau masalah berkenaan hari ini.

“Saya dimaklumkan bahawa masalah ini membabitkan tekanan air rendah di sesetengah kawasan dalam Felda Sungai Panching Utara.

“Ada kawasan tinggi mengalami masalah ini dan kawasan rendah pun ada juga gangguan sama.

“Mereka juga memaklumkan sudah membuat laporan kepada pihak PAIP, cuma setakat ini, belum ada tindakan susulan dilakukan pihak berkenaan,” katanya.

Ustaz Mohd Tarmizi berpendapat, isu itu tidak selesai jika PAIP hanya bertindak menghantar lori tangki bagi membekalkan air kepada penduduk.

Katanya, tindakan itu hanyalah untuk penyelesaian jangka pendek dan penduduk mengharapkan penyelesaian yang boleh menjamin bekalan air di situ tidak terganggu.

“Kalau kita tengok di sini pun, kebanyakan peneroka adalah warga emas, jadi penyelesaian seperti menghantar lori tangki tidak banyak membantu mereka.

“Kita cuma harap pihak PAIP boleh menjelaskan punca sebenar berlaku gangguan bekalan air di sini kepada penduduk dan memberikan maklumat mengenai usaha yang sudah atau sedang dilakukan mereka (PAIP) untuk menyelesaikan isu terbabit,” katanya.

Apandi menunjukkan bekas yang digunakan untuk menadah air kepada Ustaz Mohd Tarmizi.

Sekitar tahun 2021, Ustaz Mohd Tarmizi pernah bersama pegawai-pegawai PAIP meninjau permasalahan yang sama penduduk di situ. – HARAKAHDAILY 21/8/2023

- Advertisement -