
KAHERAH: Seorang ketua eksekutif pengeluar rokok terbesar di Mesir mendakwa penduduk negara itu menghisap kira-kira 100 bilion batang rokok setahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Eastern Company (EC), Hany Aman berkata, kira-kira 18 peratus penduduk negara itu adalah perokok tegar, lapor Arab News.
Jumlah itu bersamaan dengan setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak di Mesir yang mempunyai populasi 100 juta, menghisap 1,000 batang rokok setahun, atau tiga batang sehari.
Jika hanya perokok biasa dimasukkan, merujuk kepada 18 peratus yang dipetik oleh Hany – maka angka itu akan menjadi lebih daripada 5,555 setahun, atau 15 kali sehari.
Kenyataan Aman dibuat di tengah-tengah peningkatan permintaan rokok di Mesir, dengan pengguna membuat spekulasi bahawa cukai baharu akan diperkenalkan tidak lama lagi di negara itu.
Sejak Jun tahun ini, harga sebungkus rokok keluaran tempatan telah meningkat daripada 24 paun Mesir (RM3.61) kepada 60 paun Mesir (RM9.03), lapor Ahram Online Mesir.
EC menghasilkan 70 bilion batang rokok setahun, dengan bahagian pasaran sekitar 75 peratus di Mesir.
“Bagi membendung kekurangan itu, EC baru-baru ini telah meningkatkan pengeluarannya,” ujar Aman.
“Saya merayu kepada pengguna untuk mengelak daripada membeli kuantiti melebihi keperluan sebenar mereka dan mengelak penimbunan,” tambahnya sambil berkata, harga rokok akan kembali normal dalam tempoh tiga hingga empat minggu ini.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 80 peratus daripada 1.3 bilion pengguna tembakau dunia tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Penggunaan tembakau dianggarkan membunuh kira-kira 8 juta orang setiap tahun, 1.2 juta daripadanya mati akibat terdedah kepada asap rokok. – HARAKAHDAILY 18/8/2023




















