Pusat dan Terengganu perlu terus tingkat kerjasama

- Advertisement -

SAYA merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini yang menyaksikan Negeri Terengganu terus diperintah oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan menyaksikan kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini disapu bersih oleh PAS. Saya berpendapat keputusan PRN ini adalah suatu manifestasi sistem demokrasi yang telus dan didambakan oleh rakyat negeri ini.

Selaku Ahli Dewan Negara yang mewakili Negeri Terengganu, saya ingin memohon Kerajaan Persekutuan pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar meneruskan hubungan kerjasama baik dengan Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri atas tujuan pembangunan ekonomi negeri ini. Dalam konteks konsep Federalisme, Kerajaan Persekutuan boleh dianggap ‘bapa’ yang masih perlu memberi bantuan dan perhatian dari masa ke masa kepada negeri-negeri di dalam Persekutuan dianggap sebagai ‘anak-anak’.

Pada bulan Mac lepas, saya dimaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan bahawa Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) diberi kepada Negeri Terengganu. Jumlah pembayaran ini bagaimanapun bergantung kepada harga minyak bagi tujuan penyelarasan sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri. Oleh itu, saya mengalu-alukan sebarang bentuk inisiatif dan bantuan yang bermotifkan meningkatkan taraf hidup rakyat negeri ini.

Mengikut statistik, kadar pertumbuhan ekonomi Negeri Terengganu mengalami pertumbuhan di luar jangkaan bagi tahun 2022. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu pada tahun lepas mencatatkan peningkatan sebanyak 5.9 peratus dengan nilai berjumlah RM37.3 bilion. Ia berbeza daripada sasaran awal pertumbuhan iaitu hanya sekitar 3.5 peratus hingga 4.5 peratus sahaja sebagaimana dibentangkan dalam Belanjawan 2023 pada November lalu.

Saya ingin menyatakan limpahan pertumbuhan ekonomi di Negeri Terengganu seperti yang disebut di atas sudah pasti akan memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara secara umumnya. Oleh itu, saya optimis hubungan baik dua kerajaan ini mampu dipertingkatkan dari masa ke masa. Sesudah musim PRN sudah tamat baru-baru ini, kini adalah masa paling ideal bagi semua pihak berhenti bertelingkah dan bekerja keras demi kebajikan rakyat marhaen.

“Malaysia Sejahtera”

YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
 Ahli Dewan Negara – HARAKAHDAILY 18/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -