
KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) Johor sudah memulakan persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram negeri itu untuk memastikan kemenangan berpihak kepada calon PN.
Naib Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Johor, Ustaz Abdullah Hussin berkata, pada pilihan raya kecil kali ini jentera PN lebih bersedia memandangkan baharu sahaja berkempen di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos lalu.
Bagi menghadapi PRK pada 9 September nanti, Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri telah menyerahkan tiga nama untuk dipertimbangkan menjadi calon Dun Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.
Katanya, bagaimanapun calon yang disenarai pendek itu perlu melepasi saringan dan pertimbangan daripada pimpinan tertinggi parti.
Beliau berkata, pada PRN 12 Ogos lalu jentera PERIKATAN NASIONAL Johor membantu kemenangan di Negeri Sembilan dengan mendapat lima kerusi DUN iaitu tiga daripada PAS dan dua lagi Bersatu.
“Momentum di Negeri Sembilan dan lima negeri lain terutama Kelantan, Terengganu dan Kedah akan dibawa ke Johor.
“Semoga momentum itu akan berterusan di Johor dengan semangat dan pengalaman yang berguna,” katanya kepada Harakahdaily.
Beliau yakin PERIKATAN NASIONAL Johor mempunyai peluang yang cerah menang di Dun Simpang Jeram dan parlimen Pulai jika berlaku pertandingan dua penjuru.
“Pada pilihan raya lalu, berlaku pertembungan empat penjuru. Kali ini jika pertandingan dua penjuru, calon PERIKATAN NASIONAL berpotensi untuk menang,” katanya.
Katanya, PERIKATAN NASIONAL negeri akan meneruskan momentum dan prestasi baik pada pilihan raya negeri lalu untuk merampas kedua-dua kerusi berkenaan. – HARAKAHDAILY 18/8/2023




















