
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan perlu bersikap telus dengan konsep dan semangat federalisme serta pembahagian kuasa dengan kerajaan negeri, kata Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Katanya lagi, beliau yakin hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan akan kekal kukuh dengan adanya semangat federalisme untuk mengelakkan negeri yang dianaktirikan.
“Saya maksudkan tentang hubungan yang sangat baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan ini sebagai semangat federalisme ini adalah apabila ‘tidak ada anak yang dianaktirikan’, itu kaedahnyalah.
“Jadi, semua negeri ini bernaung di bawah satu persekutuan umpama, ‘seorang bapa dan di bawah ia ada banyak anak’. Itu yang saya katakan bahawa Kelantan ini jika nak dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain kena berlaku adil.
“Hal demikian, selama 33 tahun maknanya tahun 1990 hingga 2020 ini adalah tempoh yang sangat banyak pembangunan oleh kerajaan Persekutuan di negeri-negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis pada Program Sinar Live bertajuk ‘Ruh ruh ruh, neh neh neh’ di Kompleks Kumpulan Karangkraf yang dihoskan oleh Haizir Othman, kelmarin.
Syahir berkata, peruntukan bajet oleh kerajaan Persekutuan di Kelantan dan Terengganu ketika di bawah pentadbiran PAS tahun 1999 hingga 2004 tidak disalurkan secara terus kepada kerajaan negeri.
Malah, peruntukan bajet negeri melalui pertubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang akan mengurus selia segala peruntukan dan projek di negeri yang ditadbir oleh kabinet pembangkang.
Beliau mengakui bahawa Kelantan mendapat manfaat (nikmat) dengan kerajaan Persekutuan secara terus dengan kerajaan negeri dan ahli parlimen ketika di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
“Di bawah Perdana Menteri yang ke-10 ini masih berlaku sebegitu (peruntukan bajet melalui JPP). Ada banyak ada lagi peruntukan-peruntukan, bantuan-bantuan banjir dan seumpama ini tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri.
“Tapi melalui JPP dan ada ‘bercakap’ untuk menubuhkan jawatankuasa peringkat kampung ‘negeri’ dan juga Persekutuan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 18/8/2023











