Terengganu lakukan pelbagai usaha efektif selesai isu air

- Advertisement -

KUALA NERUS: Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri telah melakukan pelbagai usaha yang efektif bagi menyelesaikan isu air dengan kaedah yang paling baik.

- Advertisement -

“Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM249.17 juta bagi Perbelanjaan Bekalan Air menerusi Belanjawan 2023.

“Perbelanjaan ini merangkumi penaiktarafan infrastruktur dan kemudahan awam bekalan air di Negeri Terengganu secara keseluruhannya.

“Penaiktarafan aset bekalan air di dalam skop Projek Kuala Terengganu Utara (KTU) pula menelan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM1.3 bilion.

Ini, ujarnya sekali gus meletakkan sistem perkhidmatan perbekalan air di negeri ini pada tahap yang lebih baik dan mapan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) di Bukit Berapit, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Putih serta Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd, Abdul Karim Endut.

Sementara itu, Abdul Karim berkata LRA Bukit Berapit yang berkapasiti penuh 120 juta liter sehari (JLH) dijangka dapat memberi manfaat dan melengkapi keperluan di tiga daerah.

Menurutnya, pembinaan LRA itu akan memenuhi keperluan bekalan air terawat di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan sebahagian Setiu.

“Dari sudut kepenggunaan semasa, LRA ini memenuhi keperluan air terawat untuk 160,000 pengguna semasa dan berupaya memenuhi keperluan sehingga 480,000 pengguna di masa hadapan.

“Pembinaan projek LRA Bukit Berapit ini merupakan sebahagian daripada komponen utama projek bekalan air Kuala Terengganu Utara (KTU),” jelasnya. – TRDI.my

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -