YIK tangguh semua aktiviti luar bilik darjah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Berikutan cuaca panas melanda negara khususnya Kelantan, Yayasan Islam Kelantan (YIK) menangguh serta-merta semua aktiviti luar bilik darjah.

- Advertisement -

Pengarahnya, Engku Rajhan Engku Ismail, berkata pemakluman kebenaran pelaksanaan semula aktiviti luar akan dikeluarkan YIK selepas ini.

Katanya, aktiviti luar bilik darjah termasuk mengumpul pelajar di luar dewan, kurikulum dan kokurikulum seperti merentas desa, kawad kaki, sukan perkhemahan serta pengajaran dan pembelajaran di luar bilik darjah.

“Aktiviti kurikulum seperti pendidikan jasmani dan ujian segak hendaklah dilaksanakan dalam bangunan atau menggunakan modul yang tidak melibatkan aktiviti luar bilik darjah.

“Sebarang aktiviti dalam dewan adalah dibenarkan dengan syarat tidak memudaratkan, tidak terlalu lama dan tidak boleh bersesak,” katanya pada kenyataan di sini.

Bagaimanapun, tambahnya bagi aktiviti luar yang telah diluluskan dan tidak boleh ditangguh, penganjur disaran membuat pengubahsuaian melaksana dalam bangunan atau kawasan yang tidak terdedah kepada pancaran terik matahari.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selaras saranan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya ia dipatuhi bagi menjaga kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid semasa menghadapi cuaca panas dan jerebu.

Engku Rajhan turut mengingatkan pihak sekolah supaya memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi, di samping menggalakkan murid membawa air minuman sendiri.

“Pihak sekolah hendaklah menasihati murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan.

“Di samping sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas,” ujarnya.

Beliau juga berharap pihak sekolah mematuhi saranan KKM, serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dari semasa ke semasa. – HARAKAHDAILY 15/5/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -