
KOTA BHARU: Menteri di Pejabat Perdana Menteri – Menteri Kedua Kementerian Hal Ehwal Luar dan Menteri Kedua Kementerian Pendidikan Singapura, Dr Mohamad Maliki Osman melakukan lawatan kerja dua hari ke Kelantan bermula semalam.
Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff yang turut dihadiri Adun Gual Periok Dato’ Mohamad Awang di sebuah hotel di sini.
Manakala pada sebelah petangnya diadakan pertemuan dengan anggota-anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Dato’ Hanifa Ahmad.
Hadir sama pada sesi itu Timbalan Setiausaha Kerajaan (Makro), Unit Perancang Ekonomi Negeri Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) Engku Rajhan Engku Ismail.
Dr Maliki ketika mengunjungi Siti Zailah berkata, antara tujuan pihaknya mengunjungi Kelantan untuk mengeratkan hubungan antara Singapura dan Malaysia khususnya Kelantan.
Menurutnya, hubungan itu amat penting begitu meningkatkan pembangunan di negara masing-masing termasuk di Kelantan.
“Kita berharap hubungan baik ini sentiasa berterusan antara kedua-dua belah pihak untuk memastikan kemajuan dan keharmonian dapat dicapai bersama khususnya aspek pembangunan, ekonomi dan sebagainya,” ujarnya.
Katanya juga semoga dengan kujungan itu membolehkan pihaknya dapat melihat ruang pelaburan yang boleh diterokai oleh Singapura di Kelantan. – HARAKAHDAILY 17/4/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!