
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, kehadiran Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim pada persidangan Dewan Rakyat menjadikan suasana ceria.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) seramai 74 orang telah memberikan pandangan dan kritikan yang membina sepanjang persidangan berlangsung.
“Seramai 74 orang Ahli Parlimen kami berpadu tenaga dan fikiran untuk memberi pandangan dan kritikan yang membina.
“Semua kami diberi tanggungjawab untuk portfolio dan fokus pada setiap kementerian,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Menceritakan pengalamannya menjadi ahli parlimen pembangkang, ujarnya persidangan kali ini sungguh berbeza jika dibanding dengan sesi 2013-2018 dahulu.
Katanya, perjalanan agak tersusun dengan dibantu pasukan penyelidik.
“Gabungan MP lama yang berpengalaman dan pernah memegang jawatan menteri sudah tentu memberi kelebihan kepada kami.
“Kehadiran Dato’ Seri Shahidan Kasim, Ahli Parlimen Arau selaku otai yang menceriakan dewan. Maklumlah persidangan ada sampai malam,” ujarnya.
Lebih menarik pula, katanya setiap hari ada jamuan yang ditaja oleh Ahli Parlimen PN di kantin sebelah Dewan Negara.
“Siapa pun boleh makan, istilah yang popular digunakan oleh Dato’ Seri Shahidan ialah untuk semua rakyat Malaysia,” tambahnya.
Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas (2023) bermula 13 Februari lalu dan berakhir hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15. – HARAKAHDAILY 4/4/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!