
ALOR SETAR: Iftar di Dataran Masjid Zahir bukan asing lagi, malah saban hari dataran itu dipenuhi pengunjung dari pelusuk Kedah.
Ameerah Dewan Muslimat PAS Kedah turut mengambil peluang untuk bersama warga lain mengabadikan kenangan beriftar di dataran tengah bandar raya ini.
“Program ini ‘adhoc’ sahaja. Tak dirancang pun, tetapi Alhamdulillah, boleh dikatakan hampir semua jawatankuasa Ameerah Kedah dan yang berhampiran hadir,” kata Pengerusi Ameerah Kedah, Sharifah Alia Syazawani Syed Roslan ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Menurutnya, walaupun juadah berbuka dihidangkan secara ‘pot luck’ tetapi sebahagian disediakan oleh Ameerah sendiri.
Sharifah Alia Syazawani berkata, majlis iftar petang semalam bertambah meriah apabila turut disertai Setiausaha PAS Kedah, Senator Ustaz Musoddak Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat dan Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Ustaz Mohamad Rodhi Abdul Rahman.

“Mereka sebenarnya kebetulan sahaja mengadakan iftar di dataran ini, sama tarikh dengan Ameerah. Jadi secara tidak langsung memeriahkan lagi majlis kami petang semalam,” ujarnya lagi.
Sementara itu, sehari sebelum majlis iftar berkenaan, Ameerah Kedah turun ke lapangan melalui Program Ameerah Singgah di beberapa kawasan terpilih.
Pada program itu, juadah berbuka dibeli di gerai-gerai tepi jalan dan diedarkan kepada orang ramai.
Beliau berkata, antara objektif Ameerah singgah selain dapat bertemu masyarakat, secara tidak langsung membantu peniaga kecil di tepi jalan yang berniaga pada Ramadan. – HARAKAHDAILY 18/4/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!