Penjenayah seksual kanak-kanak perlu bayar pampasan

Senator Hussin Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Hussin Ismail mencadangkan kerajaan mewajibkan penjenayah seksual kanak-kanak membayar pampasan yang setimpal kepada mangsa dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau yang juga Pengerusi Tetap Muktamar PAS Pusat berkata, kanak-kanak yang menjadi mangsa seksual ketika berusia muda akan mengalami trauma sehingga dewasa.

- Advertisement -

“Perasaan (trauma) ini akan dirasai sampai bila-bila, sampai anak cucu sebab (bahan pornografi) tidak mampu dipadam dalam media yang semakin canggih hari ini.

“Anak dia, cucu dia, cicit dia melihat apa yang sudah berlaku kepada datuk nenek moyang dulu. Kalau itu terkena kepada diri kita, cuba kita tanya berapa pampasan yang kita nak. Berapa denda yang patut kita tuntut kepada mereka yang melakukan kepada kita pada masa itu.

“Apatah lagi diperlakukan dengan aktiviti luar tabii, kepada cucu kita. Cucu kita pula kalau kita tanya, berapa dia nak minta pampasan yang patut dibayar. Orang (pelaku) itu pun masih hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023 di Dewan Negara, hari ini.

Hussin berkata, kesan sampingan jenayah seksual bukan sekadar pampasan, tetapi dendam kesumat yang tidak akan berkesudahan.

“Sebab itu walaupun saya sebut tadi, saya bersetuju (pindaaan akta), macam tidak ada penyelesaian dengan suatu keputusan cadangan denda yang diberikan.

“Fikirkan jalan lain supaya mungkin dapat dibuat satu cadangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -