
KANGAR: Mantan Setiausaha Kerajaan negeri (SUK), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad diraikan Menteri Besar (MB) Mohd Shukri Ramli sebagai menghargai jasa dan pengorbanan semasa berkhidmat di Perlis.
Majlis Sanjungan Budi dan Lambaian Kasih itu diadakan di Dewan Warisan dekat sini semalam.
Hasnol bertukar ke Kuala Lumpur selepas dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya bermula 4 April lalu.
“Terima kasih atas sumbang bakti kepada Perlis sepanjang berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.
“Hanya Allah S.W.T yang dapat membalas segala jasa baik. Semoga dipermudahkan urusan Datuk Seri dan mendapat ganjaran dari yang Maha Esa,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Mohd Shukri turut menzahirkan rasa syukur kerana dapat mengenali sosok tubuh tersebut dan dapat belajar banyak perkara daripadanya.
“Bagaimanapun Datuk Seri jangan lupa kami di sini dan semoga kita berjumpa lagi di masa hadapan. InsyaAllah,” ujarnya.
Menteri Besar turut mengukir pantun di halaman muka bukunya sebagai tanda menghargai pengorbanan Hasnol menabur budi di Perlis.
Negeri Perlis Sentiasa Tenang,
Diberkati Allah Mudah Mudahan,
Jasa Tuan tetap dikenang,
Semoga diberkati diredhai Tuhan.
Hasnol Zam Zam Nama diberi,
Negeri Perlis Menabur Bakti,
Terima kasih atas jasa dan budi,
Semoga persahabatan kekal abadi.
Bawa kereta dari Sungai Padang,
Singgah masjid untuk sembahyang,
Pergilah kasih pergilah sayang,
Janganlah lelah, teruslah berjuang.
Budi Tuan SS sentiasa di ingatan
Sedih hati untuk saya lepaskan
Seandainya kita diizinkan Tuhan
Tentu bersua di hari kemudian. – HARAKAHDAILY 6/4/2023











