‘Kalau Pusat tak jemput, saya pergi sebagai pengunjung’

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu beliau tetap akan hadir ke Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa (LIMA) 2023 di Langkawi sebagai pengunjung sekiranya tidak dijemput.

- Advertisement -

“Kalau jemput saya pergilah sebab saya Menteri Besar Kedah, Pengerusi LADA. Tetapi kalau kerajaan persekutuan tak jemput, saya pergi juga sebagai pengunjung.

“Bawa teropong, duduk di tepi pagar Hujung Airport,” katanya pada sidang media, di Wisma Darul Aman petang semalam.

Sebelum ini Sanusi mendedahkan di laman sosialnya dengan mendakwa dilarang menyertai sebarang majlis anjuran kerajaan persekutuan termasuk LIMA’23.

Bagaimanapun baru-baru ini Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan memaklumkan di Dewan Rakyat akan menjemput Menteri Besar Kedah.

Oleh itu kata Sanusi perkara yang telah diputuskan dalam kabinet sebelum ini perlu ada keputusan lain untuk membatalkannya.

“Arahan saya tidak dibenarkan hadir ke LIMA 2023 ada ditunjukkan oleh pegawai. Tetapi oleh kerana perkara itu sulit dan tidak semua yang mendapat maklumat itu.

“Sama ada jemput atau tidak saya akan hadir walaupun sebagai pengunjung kerana tempahan hotel telah dibuat sebelum ini,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kerajaan Kedah menyediakan kenderaan jabatan kerajaan termasuk kenderaan rasmi Menteri Besar untuk kegunaan sepanjang program LIMA 2023 berlangsung.

Sementara dalam perkembangan lain, beliau mengucap terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menjemputnya hadir pada program Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-A’la, Jitra, semalam.

Katanya ia merupakan program kali pertama beliau bersama Timbalan Perdana Menteri sejak negara diterajui kerajaan PH-BN selepas Pilihan Raya Umum ke-15. – HARAKAHDAILY 6/4/2023

- Advertisement -