
KUALA NERUS: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melalui Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menyasarkan kutipan 30 hingga 50 beg darah sehari pada Ramadan ini.
Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata sehubungan itu pihaknya telah merancang program derma darah di lebih 30 masjid terpilih seluruh negeri yang akan dijalankan selepas solat tarawih.
Beliau berkata ia bagi memastikan bekalan darah di HSNZ sentiasa mencukupi untuk pelbagai kegunaan termasuk pembedahan dan kes kecemasan.
“Purata penggunaan darah di Terengganu sekitar 50 beg sehari manakala stok semasa yang ada sebanyak 685 beg.
“Jumlah ini cukup untuk menampung kegunaan bagi tempoh dua minggu. Oleh itu, kita perlu adakan aktiviti derma darah pada bulan Ramadan untuk pastikan bekalan sentiasa cukup,” katanya selepas merasmikan Program Derma Darah dan Mass Cardio Pulmonary Resuscitation (CPR) sempena Sambutan Hari Pembantu Kesihatan Peringkat Negeri Terengganu 2023 di sini hari ini.
Pada program itu, JKNT turut menyampaikan sijil penghargaan kepada penderma darah terbanyak Terengganu, Zakaria Omar, 48, yang telah menderma darah sebanyak 219 kali.
Zakaria yang bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) berkata beliau mula menderma darah pada 1995 ketika berusia 20 tahun.
Menurut Zakaria pada mulanya beliau hanya menderma darah secara suka-suka sebelum timbul kesedaran dan kegembiraan apabila dapat membantu insan memerlukan.
“Setakat ini saya dah derma sebanyak 219 kali. Alhamdulillah tidak ada apa-apa masalah kesihatan seperti yang dirisaukan sesetengah orang,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama golongan muda supaya bersama-sama menderma darah bagi membantu mereka yang memerlukan kerana selain mengumpul amal kebajikan, aktiviti tersebut juga membantu dalam penjagaan kesihatan penderma. – BERNAMA
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!