
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji keperluan memberi bantuan kepada pesakit terlantar dan juga penjaga mereka.
Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, ini kerana wang bantuan yang diterima penjaga pesakit banyak dihabiskan kepada keperluan pesakit.
“Kerajaan perlu buat kajian supaya penjaga mereka juga dibantu di samping yang terlantar tadi. Sebab sekarang ini, mereka gunakan untuk beli pampers atau susu.
“Perlu ada kajian supaya kita boleh bantu kedua-dua pihak kerana apabila tidak ada bantuan dan sokongan dari pihak kerajaan, kebanyakan penjaga akan stress.
“Jadi, kalau boleh kita lihat bantuan dapat berjalan serentak, yang sakit dengan yang menjaga pesakit,” katanya semasa mencelah penggulungan Belanjawan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata beliau akan menyemak kembali berkenaan bantuan tersebut terlebih dahulu kerana berdasarkan pengetahuannya, terdapat juga kerajaan negeri yang memberi bantuan serupa.
“Yang saya tahu pesakit terlantar dan yang menjaganya biasanya ada juga, tetapi untuk pengesahan, saya akan periksa dahulu kerana saya tahu beberapa kerajaan negeri juga ada memberi sumbangan untuk penjaga pesakit,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/3/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!