
KUALA LUMPUR: Kerajaan masih mengkaji cadangan untuk menaikkan elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) supaya selaras dengan penetapan gaji minimum RM1,500 sebulan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata kerajaan perlu melihat kedudukan kewangan sebelum melaksanakan cadangan tersebut.
Katanya, ketika ini terdapat seramai 35,000 guru KAFA dan mulai tahun 2020 mereka mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso.
“Pada 2016, guru KAFA menerima elaun sebanyak RM800 sebulan. Kemudian pada 2017 dinaikkan kepada RM900 sebulan, manakala pada 2020 dibayar RM1,000 dan dicampur pula dengan caruman KWSP dan Perkeso.
“Tahun ini, elaun ditambah sebanyak RM100 lagi menjadikan RM1,100 sebulan, termasuk RM143 untuk caruman KWSP dan RM18 untuk Perkeso,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Mohd Na’im berkata, cadangan untuk menjadikan guru KAFA sebagai jawatan tetap dan berpencen memerlukan kajian secara menyeluruh dan kerjasama semua pihak bagi membolehkan cadangan itu dilaksanakan pada masa akan datang.
Katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta tahun ini untuk sekolah agama, pondok dan tahfiz di seluruh negara.
Sementara itu menjawab soalan Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar), beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak mempunyai kuasa untuk menyelaras yuran Sekolah Agama Rakyat (SAR) kerana ia di bawah pengurusan sekolah terbabit.
Bagaimanapun katanya, SAR yang berdaftar dengan kerajaan diberi kemudahan Skim Pinjaman Buku Teks yang disediakan secara percuma.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, baru-baru ini memberitahu pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi majikan yang menggajikan pekerja kurang lima orang yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari 2023 ditangguhkan kepada 1 Julai akan datang. – HARAKAHDAILY 8/3/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!