
KITA melangkah ke tahun 2023 dengan satu peringatan bahawa bencana alam akan terus menghantui kita. Tragedi Batang Kali yang mengorbankan begitu ramai merupakan satu amaran yang berterusan bagaimana jika alam sekitar bertindak balas maka kita akan menerima padahnya. Pada awal tahun 2022 kita telah turut diberi peringatan apabila banjir melanda dan mengakibatkan kerugian harta benda dan kehilangan jiwa. Kita sudah tentu akan mengaitkan kedua-dua tragedi ini dengan krisis iklim yang melanda dunia hari ini. Rakyat Malaysia telah mula bercakap tentang perubahan iklim (climate change) dan pemanasan global (global warming). Ianya bukan lagi istilah-istilah asing kepada kita.
Tahun 2022 sarat dengan berita-berita pelbagai bencana alam dari gelombang haba di Eropah dan Amerika kepada banjir besar di Pakistan dan tahun ini diramal akan melihat impak krisis iklim ini menjadi lebih parah. IEA (International Energy Agency) menjangkakan pelepasan gas rumah kaca atau greenhouse gas (GHG) pada tahun 2023 akan meningkat ke tahap paling tinggi dalam sejarah. Tanpa pengurangan pelepasan karbon dioksida pada dekad-dekad yang mendatang, peningkatan suhu global tidak akan disekat pada 2 darjah celsius. Sebuah agensi Bangsa-bangsa Bersatu (UN), IPCC (Intergovernmental Panel on Climate Change) meletakkan dunia pada tahap bahaya (code red).
Sebuah NGO yang berpangkalan di New York, International Rescue Committee (IRC) menjangkakan krisis iklim akan meningkatkan krisis kemanusiaan global di samping krisis ekonomi dan peperangan. Menurut mereka bilangan penduduk dunia yang memerlukan bantuan kemanusiaan hari ini akan mencecah 339.2 juta berbanding 81 juta dalam tahun 2014. Sementara bilangan penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka meningkat dari 60 juta dalam tahun 2014 kepada 100 juta hari ini. Peranan krisis iklim mempercepatkan krisis kemanusiaan ini memang tidak dapat dinafikan.
Walau bagaimanapun terdapat kemajuan-kemajuan yang memberikan harapan kepada masyarakat dunia. Pada United Nations Climate Change Conference kali ke 27 (COP27) di Sharm El Sheikh, Mesir November lepas, satu mekanisme pembiayaan telah dipersetujui untuk mendapatkan dana bagi membantu negara-negara membangun menghadapi impak perumahan iklim. Negara-negara tersebut tidak bertanggungjawab ke atas pelepasan gas rumah kaca secara besar-besaran tetapi terpaksa menanggung impaknya.
Amerika Syarikat pula telah menggubal undang-undang iklimnya yang pertama. Inflation Reduction Act akan menyuntik 369 bilion USD perbelanjaan awam dan kredit cukai ke dalam ekonomi untuk meningkatkan tenaga bersih, infrastruktur bersih dan daya tahan iklim sepanjang dekad yang akan datang. Di Brazil pula, Presiden Luiz Inácio Lula da Silva, yang baru mengambil alih 1 Januari lepas telah memenangi pemilihan dengan janji untuk memberhentikan penebangan hutan hujan Amazon. Hutan ini penting kepada dunia kerana ia melepaskan 20 bilion tan air ke dalam atmosfera setiap hari yang memainkan peranan penting di dalam kitaran air dan karbon global.
Negara-negara di dunia termasuk negara kita telah mula mengakui akan wujudnya krisis iklim dan sedar akan impak perubahan iklim. Pada Bajet yang dibentang di Parlimen Malaysia oleh kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), RM15 bilion telah diperuntukkan untuk mitigasi banjir secara jangka panjang. Pada bulan September lepas, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Menteri Alam Sekitar Dan Air memberi peringatan bahawa negara memerlukan sekurang-kurangnya RM392 bilion untuk penyelesaian jangka panjang kepada masalah banjir bagi tempoh masa 78 tahun yang akan datang. Sama-sama kita lihat sama ada RM15 bilion ini akan kekal dalam Bajet kerajaan Pakatan Harapan – Barisan Nasional apabila dibentangkan kelak. Atau sama ada RM392 bilion itu juga akan diambil kira oleh mereka dalam perancangan jangka panjang.
Tetapi kesedaran ini bukan hanya perlu ada pada kerajaan sahaja walaupun kerajaan yang membuat polisi, menggubal undang-undang dan menyediakan peruntukan. Kesedaran ini perlu ada pada semua pihak. Cara kita menjalankan perniagaan kita, cara kita menguruskan industri kita, cara kita melaksanakan pertanian kita, cara kita merancang projek-projek pembangunan kita malah cara kita mengatur kehidupan seharian kita perlu mengambil kira krisis iklim yang wujud. Kesemuanya akan memberi kesan kepada alam sekitar. Ini tidak bermakna setiap dari kita perlu tinggal di kediaman yang mencapai tahap Platinum untuk Green Building Index (GBI) atau setiap dari kita perlu memandu Tesla tetapi terdapat perkara-perkara yang mudah yang kita semua boleh lakukan.
Contohnya sisa pepejal adalah di antara sumber utama GHG. Menurut satu anggaran, pada tahun 2050 sebanyak 2.6 bilion tan karbon dioksida adalah dari sisa pepejal. Sisa makanan adalah penyumbang utama kerana gas metana yang dihasilkan. Ia menyumbang kepada 6 peratus dari pelepasan global GHG. Pelepasan ini adalah sepadan dengan pelepasan GHG dari 4 negara paling banyak melakukan pelepasan. Justeru jika anda dapat mengurangkan pembaziran makanan lalu mengurangkan sisa makanan, ia juga adalah satu sumbangan terhadap pengurangan GHG global walaupun pada skala yang kecil.
DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
3 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 3/1/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!